
Che Lodin Wok Kamaruddin, yang memegang jawatan itu bermula 2009 hingga 2016, berkata tiada sesiapa yang memberitahunya bahawa Low, yang juga terkenal sebagai Jho Low, mempunyai “pengaruh” sedemikian dalam 1MDB.
Katanya, keputusan syarikat dibuat oleh pengarahnya selepas mempertimbangkan cadangan dan dokumen sokongan daripada kakitangan pengurusan dan perunding luar.
“Tiada sesiapa mempengaruhi atau mengarahkan saya (membuat keputusan), atau menyebut bahawa Jho Low adalah ‘proksi’ Najib,” katanya.
Lodin berkata, beliau kali pertama bertemu Low dalam mesyuarat 1MDB pada 26 Sept 2009, ketika hanya menjadi ahli lembaga pengarah firma itu. Beliau dan pengarah lain diberitahu Low mewakili keluarga diraja Saudi.
Mengimbau semula pertemuan berkenaan, Lodin memaklumkan Low ada menyerahkan telefonnya kepada pengerusi 1MDB ketika itu, Bakke Salleh.
“Bakke keluar menjawab panggilan dan apabila kembali semula, beliau memberitahu kami bahawa beliau bercakap dengan perdana menteri (Najib), yang mengetahui perbincangan kami (mengenai usaha sama USD1 bilion dengan PetroSaudi International Ltd).
“Apa yang saya faham adalah perdana menteri mahu kami menilai usaha sama berkenaan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, Bakke memaklumkan mahkamah bahawa Najib memberitahunya supaya ‘menyokong keputusan’ berkait usaha sama PetroSaudi International, memandangkan ia inisiatif kerajaan-kerajaan dengan Arab Saudi.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.