
Beliau berkata, antara tindakan tatatertib dikenakan setakat 14 Jan lalu ialah diberikan amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja.
“Terdapat dua penjawat awam yang telah dijatuh hukum oleh mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung tindakan diambil kerajaan dalam menangani isu dibangkitkan dalam LKAN, termasuk ketirisan.
Kulasegaran berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 12,393 isu telah diaudit, dengan 11,594 daripadanya diselesaikan dan 799 dalam tindakan susulan.
“Sehingga hari ini, 32 isu disiasat pihak polis, 138 isu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan 116 isu melibatkan siasatan oleh jawatankuasa khas siasat (JKS) serta jawatankuasa siasatan dalaman (JKSD) yang diselaraskan JPA.”
Sementara itu, Kulasegaran berkata, walaupun tiada pengasingan kuasa dalam beberapa jawatan penting negara, namun kerajaan komited peranan itu digalas dengan baik, termasuk memberi kuasa bebas kepada ketua audit negara melakukan audit.
“Walaupun peguam negara dan menteri kewangan tidak diasingkan, tidak bermakna fungsi yang dijalankan jabatan itu tiada kekurangannya, kita perlu faham kerajaan Madani serius, itu sebab ketua audit negara diberi kuasa lebih untuk buat siasatan dan sebagainya.”
Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berhubung kerajaan tidak mengamalkan prinsip pemisahan kuasa dan apa jaminan tidak berlaku audit secara terpilih.