Polis nafi dakwaan pekerja tapak binaan dipukul gengster

Polis nafi dakwaan pekerja tapak binaan dipukul gengster

Kejadian dalam video yang tular di media sosial tidak melibatkan serangan oleh kumpulan gengster.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, nafi dakwaan berhubung seorang pekerja tapak pembinaan dipukul oleh kumpulan gengster. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan dakwaan berhubung seorang pekerja tapak pembinaan dipukul oleh kumpulan gengster di sebuah tapak pembinaan di Subang Jaya, seperti yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing yang juga pekerja tapak pembinaan semalam mendakwa ditolak oleh seorang lelaki tempatan.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku Jumaat lepas kira-kira 4 petang apabila lelaki warga asing itu bersama kira-kira 10 rakan sekerja menuntut tunggakan gaji yang belum dibayar selama tiga bulan.

“Semasa kejadian seorang lelaki warga tempatan telah meminta pengadu dan rakannya supaya tidak membuat kecoh di kawasan tapak pembinaan dan keluar dari tapak projek tersebut.

“Semasa perbincangan, telah berlaku tolak menolak di antara kedua-dua pihak namun dileraikan oleh pekerja yang lain,” menurut kenyataan.

Wan Azlan berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang serangan oleh kumpulan gengster seperti yang didakwa di media sosial.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Semalam tular di media sosial video memaparkan pertengkaran sekumpulan individu termasuk warga asing, yang turut mendakwa mereka tidak dibayar gaji serta dipukul gengster.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.