
Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, beritahu perkara itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Menurut pengasas My Mobility Vision itu, MLFF akan mengurangkan kesesakan di pondok tol dengan ketara dan menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar, sekiranya dilaksanakan sebagai sebahagian sistem pengurusan trafik bersepadu.
“Walaupun saya bersetuju MLFF semata-mata bukan penyelesaian kepada semua isu kesesakan, kita harus iktiraf sumbangan besar sistem itu dalam mengurangkan kesesakan khususnya di plaza tol.
“Dengan membuang pondok tol fizikal, kenderaan akan mengekalkan kelajuan yang lebih konsisten, yang boleh mengurangkan kesesakan setempat secara drastik dan meningkatkan keseluruhan aliran trafik.
“MLFF harus dilihat sebagai komponen penting dalam strategi holistik pengurusan trafik dan bukan satu-satunya penyelesaian kepada kesesakan di lebuh raya,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah bandar-bandar utama lain berjaya menggunakan pendekatan bersepadu sedemikian.
Di bawah sistem MLFF, semua pintu keluar dan masuk di lebuh raya akan ditukar menjadi lorong bebas halangan untuk mengurangkan kesesakan dan memudahkan aliran trafik.
Pada 18 Feb, PAC berpendapat pelaksanaan MLFF tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara total, dan menyeru kajian ‘cost-benefit analysis’ (analisis kos-faedah kewangan) yang lebih terperinci dilaksanakan kerana pelaksanaan MLFF akan melibatkan anggaran kos RM3.46 bilion.

Wan Agyl bersetuju dengan gesaan PAC supaya satu kajian menyeluruh dibuat, bagi memastikan ketelusan dalam pemerolehan dan menangani beban kewangan yang berpotensi berlaku dalam projek prasarana besar.
“Pada masa sama, saya berpendapat adalah penting projek MLFF diteruskan.
“Pendekatan seimbang — mengiktiraf kekuatan MLFF dan keperluan suatu pengurusan kesesakan yang tuntas — sejajar dengan amalan global terbaik dan memastikan kita memanfaatkan teknologi untuk menambah baik prasaranaq pengangkutan dengan berkesan,” katanya.
Rosli Azad Khan, pengarah urusan MDS Consultancy, turut menyokong MLFF kerana ia akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kecekapan bahan api untuk pengguna jalan raya, dan mengurangkan kos operasi bagi pengendali tol.
Beliau berkata Putrajaya mesti memasang sistem pengecaman nombor plat automatik (APNR) dan memastikan ia berfungsi dengan berkesan sebelum melaksanakan MLFF.

Menurut Rosli, faktor seperti kotoran, sudut kamera dan pengubahsuaian kenderaan boleh memberi kesan pada ketepatan ANPR, lalu memberi kesan pada MLFF.
Melaksanakan APNR terlebih dahulu akan membolehkan pihak berkuasa menyelesaikan sebarang masalah dalam sistem.
“Kerajaan tidak boleh menswastakan fungsi ANPR, kerana hanya jabatan kerajaan yang mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan sistem ini,” katanya.