Fama tambah 30% import kelapa sejak bulan lalu

Fama tambah 30% import kelapa sejak bulan lalu

Ketua Pengarah Fama Abdul Rashid Bahri berkata 640,000 biji kelapa dibawa masuk dari beberapa lokasi di Indonesia, Sabah dan Sarawak sejak bulan lalu.

Ketua Pengarah Fama Abdul Rashid Bahri berkata kekurangan kelapa bukan hanya dialami di Malaysia, sebaliknya banyak negara berdepan isu sama akibat musim melawas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meningkatkan import kelapa sebanyak 30% sejak bulan lalu bagi menampung kekurangan bekalan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri, berkata 640,000 biji kelapa dibawa masuk dari beberapa lokasi di Indonesia, Sabah dan Sarawak sejak bulan lalu.

Menurutnya, kekurangan kelapa bukan hanya dialami di Malaysia, sebaliknya banyak negara menghadapi isu sama akibat musim melawas.

“Jika sebelum ini kita hanya dapat bekalan dari satu lokasi di Indonesia, iaitu Riau, namun selepas masalah bekalan berlaku, kita turut mendapatkan bekalan dari Palekbang, selain Sabah dan Sarawak,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai di Kampung Haji Wan Omar, Pasir Puteh.

Beliau menjangkakan bekalan kelapa di pasaran akan stabil dengan penambahan 30% itu, khasnya menjelang Ramadan dan Aidilfitri yang akan menyaksikan permintaan meningkat.

Rashid berkata, lawatannya ke Thailand baru-baru ini mendapati negara itu turut mendapatkan bekalan kelapa dari Vietnam dan Malaysia boleh mengikut jejaknya mendapatkan bekalan kelapa lebih banyak dari sana.

Mengenai dakwaan ada pembekal cuba menyeludup kelapa ke Thailand, katanya, semua yang ditahan mempunyai lesen.

“Dari siasatan dilakukan, kita tiada bukti jelas bekalan berkenaan bertujuan untuk dieksport ke Thailand kerana di pihak Fama, kita melihat kepada lesen.

“Siasatan menunjukkan mereka mempunyai lesen dan kesalahan mereka adalah tidak mempamerkan papan tanda sebagai pembeli dan pembekal kelapa berlesen.”

Disebabkan kekurangan bekalan ketika ini, katanya, kerajaan tidak berhasrat mengehadkan pemberian lesen kepada pembekal kelapa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.