Suspek cabul budak di masjid direman seminggu

Suspek cabul budak di masjid direman seminggu

Perintah reman sehingga 28 Feb terhadap remaja 19 tahun itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

remaja cabul
Semalam tular satu rakaman di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan disyaki dicabul ketika menunaikan solat subuh berjemaah di sebuah masjid di Batang Kali.
PETALING JAYA:
Remaja 19 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, seperti yang tular semalam.

Perintah reman sehingga 28 Feb terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.

Ia bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, menurut Harian Metro.

Media semalam melaporkan suspek ditahan kerana disyaki mencabul budak perempuan yang sedang solat Subuh.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan disyaki dicabul ketika menunaikan solat subuh berjemaah di masjid berkenaan.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.

Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, justeru menyebabkan tindakan itu tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud.

Suspek melarikan diri selepas mangsa melawan perbuatan terbabit.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan bahawa suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, berkata, hasil pemeriksaan dan semakan dijalankan mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil lagi.

“Hasil pemeriksaan kita dapati dia (suspek) mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya.

Polis sebelum itu dilaporkan berkata ia sedang menunggu pengesahan JKM berhubung status remaja terbabit yang dikatakan memiliki kad OKU.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dilaporkan berkata kad OKU terbabit ditemui tetapi perkara itu perlu disahkan JKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.