
Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud berkata kejadian berlaku ketika remaja 17 tahun itu cuba memotong kenderaan tetapi bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan, lapor Bernama.
Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa terbakar.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta itu pula mengalami kecederaan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya.
Rosdi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga menyeru orang ramai yang melihat kemalangan itu, tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.