MMA seru tangguh paparan harga ubat sehingga ‘isu lama’ selesai

MMA seru tangguh paparan harga ubat sehingga ‘isu lama’ selesai

MMA sorot isu fi konsultasi GP yang tidak disemak dan kekurangan kawalan terhadap penjualan ubat preskripsi tanpa preskripsi doktor.

Hospital Pharmacy
Fasiliti kesihatan swasta wajib memaparkan harga ubat bermula tahun ini bagi meningkatkan ketelusan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan mandatori paparan harga ubat di klinik doktor am (general practitioner) swasta sehingga beberapa isu penting selesai.

Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira menarik perhatian kepada fi konsultasi GP, yang tidak disemak selama lebih 30 tahun walaupun kos operasi seperti sewa, gaji pekerja, dan pematuhan peraturan terus meningkat.

Selain itu, kekurangan kawalan terhadap penjualan ubat preskripsi secara meluas tanpa preskripsi doktor di farmasi dan dalam talian.

Kalwinder menegaskan MMA menyokong ketelusan dalam penetapan harga penjagaan kesihatan, namun penguatkuasaan dasar tanpa menyelesaikan ‘isu lama’ akan menjejaskan kelangsungan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer swasta, mengancam kewujudan klinik GP, dan memaksa lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam yang sudah sesak.

“MMA menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan dasar paparan harga ubat sehingga isu jadual fi konsultasi GP diselesaikan dan sistem pemantauan ketat bagi penjualan ubat preskripsi di farmasi serta dalam talian dilaksanakan,” menurut kenyataan.

“Kami menyeru kerajaan untuk menilai semula dasar ini demi kepentingan rakyat dan memastikan sistem kesihatan kekal adil, mampan, dan berorientasikan pesakit.”

November lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan fasiliti kesihatan swasta wajib memaparkan harga ubat bermula tahun ini bagi meningkatkan ketelusan, selain memastikan harga ubat tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

Kalwinder mengingatkan GP tidak beroperasi seperti perniagaan runcit, dan menyediakan penjagaan perubatan menyeluruh di bawah 54 akta dan peraturan, dan memberikan rawatan holistik kepada pesakit termasuk konsultasi, diagnosis, rawatan, dan susulan.

“Perkhidmatan pemberian ubat bukanlah perkhidmatan berasingan tetapi sebahagian daripada proses perubatan yang berpusat kepada pesakit dan dikawal selia,” katanya.

Kalwinder memaklumkan banyak klinik bergantung kepada pendapatan daripada pendispensasi ubat untuk menampung kos perkhidmatan dan memastikan rawatan kekal berpatutan.

“Pelaksanaan dasar paparan harga ubat tanpa semakan fi konsultasi akan memaksa klinik menaikkan caj atau mengurangkan kualiti perkhidmatan,” tambahnya.

Berhubung penjualan ubat preskripsi pula, Kalwinder berkata terdapat kemungkinan pengguna akan memilih untuk membeli ubat preskripsi di farmasi atau secara dalam talian dengan pelaksanaan paparan harga ubat.

“Semua penjualan ubat preskripsi, sama ada di farmasi atau dalam talian, mesti dikawal dengan ketat, dengan audit berkala oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan penjualan ubat dilakukan secara bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Kalwinder menarik perhatian kepada kajian MMA pada 2017 yang mendapati 30% klinik mengalami kerugian, 30% hanya mampu bertahan, 30% sekadar beroperasi tanpa berkembang, dan hanya 10% dalam keadaan kewangan yang baik.

“Dengan 60% klinik GP berada dalam tekanan kewangan, sebarang bebanan peraturan tambahan tanpa perlindungan ekonomi boleh menyebabkan lebih banyak klinik terpaksa ditutup, sekali gus memberi kesan kepada masyarakat yang bergantung kepada perkhidmatan GP yang berpatutan dan mudah diakses,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.