OKU maut terjatuh landasan LRT Titiwangsa

OKU maut terjatuh landasan LRT Titiwangsa

Komander Operasi Fadil Hesam Mohd berkata mangsa dipercayai hilang keseimbangan dan terjatuh ke landasan tanpa disedari pemandu tren.

jatuh lrt titiwangsa
Pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dari landasan tren di Stesen LRT Titiwangsa. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Mayat seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemui bawah landasan Stesen LRT Titiwangsa pagi tadi.

Komander Operasi Fadil Hesam Mohd berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.38 pagi tadi melalui sistem MERS-999 yang memaklumkan penemuan mayat itu.

Beliau berkata, mangsa yang dipercayai OKU buta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel kereta api sebelum dilanggar sebuah kereta api yang melintasi kawasan tersebut.

“Kejadian ini dipercayai berlaku akibat kehilangan keseimbangan mangsa yang terjatuh tanpa disedari pemandu kereta api,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan memeriksa rekod operasi tren pada waktu kejadian.

Sementara itu, Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren di Stesen LRT PWTC hingga Sentul Timur yang digantung sementara pagi tadi, kini pulih sepenuhnya susulan kejadian seorang penumpang terjatuh di kawasan landasan Stesen LRT Titiwangsa.

“Tren kini beroperasi seperti biasa dan jadual perjalanan kembali normal.

“Oleh itu, tren alternatif dan bas perantara telah ditamatkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.