
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam membawa isu serantau serta sokongan penuh Malaysia terhadap keanggotaan penuh Timor-Leste sejak dari awal dijangka memudahkan proses keahlian Timor-Leste.
“Besar kemungkinan Timor-Leste akan dimasukkan sebagai anggota penuh kerana sokongan Malaysia sendiri (sebagai pengerusi Asean 2025) dan tentangan daripada Singapura sebelum ini sudah tiada.

“Jadi besar kemungkinan tahun ini adalah tahun Timor-Leste,” katanya kepada FMT, mengulas penglibatan Timor-Leste yang masih berstatus negara pemerhati sejak 2022 pada Sidang Kemuncak Asean 2025 bawah kepengerusian Malaysia.
Timor-Leste yang merdeka pada 2002 sedang menunggu konsensus negara anggota Asean untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu, selepas secara rasmi memohon menganggotai blok Asean, 14 tahun lalu.
Azmi berkata, walaupun ada kesangsian dengan sumbangan Timor-Leste, namun penyertaannya dijangka boleh membantu memperkukuh ekonomi Asean.
“Sebelum ini pun ketika Laos, Kemboja dan Myanmar diterima masuk, keadaan negara-negara berkenaan lebih daif, jadi tiada isu walaupun Timor-Leste negara kecil dengan pendapatan perkapita rendah,” katanya.
Pada 2024, pertumbuhan ekonomi Timor-Leste diunjurkan kepada purata 4.1% manakala Laos mencatatkan 4% menurut Bank Pembangunan Asia.
Namun kata Azmi, antara halangan Timor-Leste menjadi anggota penuh adalah kemampuannya mempengerusikan ratusan mesyuarat terutama dari segi infrastruktur, kewangan dan tenaga pakar.
Tambah Azmi, keanggotaan Timor-Leste ke dalam Asean juga mampu mengawal negara itu daripada terjebak dalam konflik geopolitik membabitkan kuasa besar terutama China yang kini sedang giat melabur dalam negara itu.
“Ini yang mahu dielakkan, jadi sebelum Timor-Leste dipengaruhi oleh China, baik negara itu bersama dalam Asean dan dapat menikmati kemajuan lebih baik serta Asean juga dapat kawal Timor-Leste dalam hal geopolitik,” katanya yang juga pakar geostrategis.
Potensi Timor-Leste pemain utama sektor tenaga
Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun, pula berpendapat pentadbiran Anwar boleh membantu mengukuhkan permohonan Timor-Leste dengan memastikan proses sewajarnya berjalan dan aspirasinya menyertai Asean didengar semua negara anggota.

Katanya, negara anggota perlu memanfaatkan peluang besar di Timor-Leste iaitu sumber petroleum yang banyak di pesisirnya, yang berpotensi menjadikan negara itu sebagai pemain utama dalam sektor tenaga pada masa depan.
Beliau merujuk kepada projek Greater Sunrise Offshore, terletak antara Australia dan Timor-Leste yang dikatakan medan gas terbesar di dunia yang belum diterokai serta dibangunkan.
“Projek ini akan menjadikan Timor-Leste sebagai pemain utama pada masa depan,” katanya.
Timor-Leste sudah tentu ingin memanfaatkan pelbagai keistimewaan Asean secara progresif, seperti Komuniti Ekonomi Asean (AEC),” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Anwar berkata Malaysia akan membantu memudahkan dan mempercepatkan proses keanggotaan Timor-Leste ke dalam Asean, apabila memegang jawatan pengerusi blok berkenaan tahun ini.
Ikrar itu disampaikan pada sidang media sempena lawatan rakan sejawatnya, Kay Rala Xanana Gusmão ke Malaysia selepas dilantik sebagai perdana menteri Timor-Leste pada Julai 2023.
Awal bulan ini, Duta Timor-Leste ke Malaysia, Lisualdo Gaspar berkata negara itu semakin hampir mendapat keanggotaan penuh dalam Asean setelah memenuhi 70% daripada kriteria diperlukan termasuk aspek ekonomi, sosiobudaya dan teras politik.