Johor tak benar pelaburan import e-waste

Johor tak benar pelaburan import e-waste

Exco Negeri Lee Ting Han berkata larangan itu sejajar dengan polisi kerajaan persekutuan yang melarang bahan itu diimport.

Pada 14 Feb lalu, tiga kilang di Ulu Tiram, Johor diserbu kerana didapati menyimpan dan memproses e-waste terjadual. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor tidak akan membenarkan sebarang pelaburan membabitkan pengimportan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) ke negeri itu walaupun ada desakan mahu perniagaan itu dibenarkan.

Exco Pelaburan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Lee Ting Han berkata larangan itu sejajar dengan polisi sama yang digariskan kerajaan persekutuan, lapor Bernama.

“Oleh itu, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, kita sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Tindakan akan diambil sekiranya ada mana-mana syarikat, terutamanya kawasan perindustrian memproses e-waste tanpa kelulusan,” katanya di program jualan rahmah di Tapak Pasir Khamis Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru.

Lee menjelaskan kilang memproses e-waste yang dibenarkan di negeri itu hanya membabitkan e-waste domestik.

Katanya, jika ada mana-mana syarikat yang memproses e-waste tanpa kelulusan tindakan tegas termasuk menyita, saman dan pendakwaan di mahkamah akan diambil.

Pada 14 Feb, polis marin Johor merampas e-waste terjadual bernilai lebih RM71 juta, yang dipercayai dibawa masuk secara haram dari negara lain, dalam serbuan ke atas tiga kilang di Ulu Tiram.

Ia merupakan sebahagian daripada operasi membanteras pemprosesan e-waste haram di seluruh negara. Polis merampas e-waste dan mesin bernilai RM3.8 bilion antara 1 Jan 2024 dan 17 Feb tahun ini.

Polis berkata e-waste mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium yang mempunyai nilai kitar semula tinggi. Bahan ini diproses menjadi jongkong besi, timah dan tembaga sebelum dieksport ke luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.