Imigresen buru pihak bocor, hebah operasi di WhatsApp

Imigresen buru pihak bocor, hebah operasi di WhatsApp

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata pihaknya akan mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan polis.

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata tindakan menghebahkan operasi penguat kuasa itu membolehkan sebahagian pendatang haram sempat melarikan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen Sabah akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan polis bagi mengesan individu yang membocorkan maklumat operasi agensi itu di Keningau baru-baru ini yang dihebahkan secara meluas di WhatsApp.

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata individu itu juga merakam gambar kehadiran kenderaan imigresen dan memaklumkan pergerakan anggota di aplikasi berkenaan, lapor Bernama.

Katanya, hebahan tidak bertanggungjawab itu secara langsung mengganggu operasi jabatan itu.

“Pergerakan (anggota imigresen) pun diiringi tonto, maklumat mereka hantar khusus memaklumkan ke dalam kumpulan Whatsapp bahawa ada operasi di kawasan tersebut.

“Kita akan cari mereka ini melalui risikan dan akan mendapatkan bantuan Kementerian Komunikasi selain kita juga sebenarnya bekerjasama dengan polis tujuan menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Tawau.

Sitti Saleha berkata sebahagian penyebar maklumat itu merupakan warga asing dan tindakan menghebahkan operasi penguat kuasa itu membolehkan sebahagian pendatang haram sempat melarikan diri.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata dalam operasi di Tawau dan Semporna yang bermula semalam dan berakhir pagi tadi seramai 139 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.