Sabah nafi dakwaan syarikat keluli tangguh projek RM19 bilion

Sabah nafi dakwaan syarikat keluli tangguh projek RM19 bilion

Kerajaan Sabah tepis tuduhan pemimpin Umno yang mendakwa Esteel Enterprise hilang keyakinan terhadap pentadbirannya.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengerusi SOGDC Abdul Rahman Dahlan (kanan) dan Pengarah Urusan Esteel Enterprise Sabah Xu Yihang pada majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah pada 2022. (Gambar Japen)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah menepis dakwaan seorang pemimpin Umno bahawa sebuah syarikat pembinaan keluli menangguhkan pelaburan berjumlah USD4.39 bilion (RM19.6 bilion) di negeri itu.

Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zhe berkata dakwaan penangguhan pelaburan oleh Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) itu disebabkan hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri sebagai tidak berasas.

Menurutnya, dakwaan itu tidak mencerminkan realiti kemajuan projek terbabit antaranya kelulusan kilang oleh Majlis Daerah Sipitang dan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kerja tanah diluluskan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS).

Selain itu, pelaksanaan kerja siasatan tanah bagi tapak pembinaan kilang telah dilakukan, kerja siasatan tanah kawasan laut bagi pembangunan jeti dan terma rujukan EIA juga sudah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar.

“Kerajaan Negeri juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Lesen Pengilang (FML) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 bagi pelaburan sasa 1 telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 24 Jan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed sebelum ini mendakwa Esteel telah menangguhkan projek itu kerana hilang keyakinan terhadap pentadbiran negeri, kononnya disebabkan ketidakstabilan dan kredibiliti.

Ketua Umno Putatan itu mendakwa ada sumber memberitahunya tiada kemajuan di tapak projek itu.

Phoong berkata Esteel juga telah memberitahu kerajaan negeri yang kerja penyediaan tapak dan seterusnya pembinaan kilang dijangka bermula Mei.

“Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa syarikat ini menangguhkan pelaburan kerana hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri semasa adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.