Polis sahkan NFA kes dera budak autistik

Polis sahkan NFA kes dera budak autistik

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata keputusan itu dibuat kerana tiada keterangan kukuh.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya memulakan siasatan selepas menerima laporan dakwaan dera kanak-kanak autistik pada 16 Jan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kes penderaan didakwa membabitkan kanak-kanak autistik di sebuah taska di Seksyen 7, Shah Alam, diklasifikan tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada keterangan kukuh, kata polis.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat pejabat Penasihat Undang-undang Selangor selepas meneliti kertas siasatan polis.

Katanya, polis melancarkan siasatan selepas menerima laporan mengenai kejadian pada 16 Jan lalu daripada ibu mangsa yang melihat ada kesan kemerahan di bahagian belakang serta bawah mata kanan mangsa yang berusia enam tahun itu.

Menurutnya, pengadu juga menyedari yang mangsa tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa diambil dari taska pada hari sama.

“Semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu tidak menampakkan kejadian mangsa dicederakan.

“Kertas siasatan dirujuk pejabat Penasihat Undang-undang Selangor, keputusan NFA dibuat memandangkan tiada keterangan kukuh untuk meneruskan kes setakat ini,” katanya dalam kenyataan.

Iqbal berkata, pihaknya meminta mereka yang mempunyai maklumat berkait kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes Vemal Subramaniam di talian 011 39216101.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran bapa kepada kanak-kanak terbabit berhubung keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.