
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata jika ia sudah dijadikan lokasi jenayah maka alasan tidak mengetahui aktiviti yang dilakukan dalam premis tidak boleh dipertimbangkan.
“Selaku pemilik premis, mereka wajar dipertanggungjawabkan terhadap aktiviti jenayah dilakukan di premis milik mereka.
“Cadangan untuk meletakkan liabiliti jenayah terhadap pemilik premis sedang dilakukan agar mana-mana pemilik yang gagal memantau atau melaporkan aktiviti jenayah yang berlaku dalam premis mereka dikenakan hukuman bawah kesalahan pakat jahat jenayah mahupun bersubahat,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ.
Terdahulu, Ramli mendedahkan sebuah sindiket penipuan permainan video dalam talian tumpas selepas pihaknya menyerbu lapan kondominium mewah di Persiaran Stonor Rabu lalu yang disyaki dijadikan pusat aktiviti haram itu.
Katanya, lapan unit kondominium berharga RM16 juta itu dibeli secara tunai oleh seorang wanita warga China di mana premis itu kemudian digunakan sebagai markas aktiviti haram.
Ramli berkata, penggunaan premis kediaman seperti kondominium untuk aktiviti jenayah antaranya ‘call center’ penipuan bukan perkara baru berikutan kawalan keselamatan ketat, privasi dan jaringan internet yang baik menjadikan ia lokasi strategik melakukan aktiviti jenayah.
“(Kami ingin ingatkan) pihak pengurusan hartanah, penjualan rumah mewah kepada warga asing terutama apabila melibatkan pembayaran secara tunai, perlu dilakukan secara lebih teliti.
“Lakukan semakan berkenaan tujuan pembelian, sumber kewangan dan sebagainya bagi memastikan premis yang dibeli tidak digunakan untuk tujuan jenayah,” katanya.
Ramli menyeru masyarakat sentiasa mengambil tahu perkara yang berlaku di sekitar kediaman masing-masing.
“Sekiranya terkesan sebarang aktiviti mencurigakan, segera laporkan kepada polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.