‘Man Tiger’ mengaku tak salah cubaan bunuh suami isteri

‘Man Tiger’ mengaku tak salah cubaan bunuh suami isteri

Abdurrahman Abdullah bersama dua lagi rakan sejenayah didakwa melepaskan tembakan terhadap mangsa dalam kejadian di Simpang Renggam.

Abdurrahman Abdullah
‘Man Tiger’ atau Abdurrahman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh sepasang suami isteri, 10 Feb lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh sepasang suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, 10 Feb lalu.

Tertuduh dikenali sebagai ‘Man Tiger’ atau Abdurrahman Abdullah, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mujib Saroji, menurut Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan terhadap mangsa wanita berusia 37 tahun, dalam kejadian di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam pada 12.17 tengah hari, 10 Feb lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sama, melepaskan tembakan terhadap Ahmad Fadhullah Mohamed, 38, pada masa dan tempat sama.

Dakwaan terhadapnya dikemuakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suniza Nan Yan manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.

Suniza tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius kerana membabitkan penggunaan senjata api dan tular.

Bagaimanapun, Tan memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan yang rendah kerana tertuduh adalah pekerja katering menjaga saudaranya yang uzur dan sakit selain menanggung kakak sendiri.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas kepentingan masyarakat selain dia masih berdepan kes lain yang sedang berjalan.

Sebutan ditetapkan 20 Mac untuk penyerahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.