KKM larang jual gula-gula kenyal bentuk mata di semua platform

KKM larang jual gula-gula kenyal bentuk mata di semua platform

Larangan itu dibuat sehari selepas kematian Fahmi Hafiz Fakhruddin yang tercekik selepas makan gula-gula itu.

Siasatan Kementerian Kesihatan mendapati produk gula-gula kenyal berbentuk mata itu menyalahi keperluan pelabelan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan produk gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata di semua platform dalam talian mahupun pasaran domestik.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk yang mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak Fahmi Hafiz Fakhruddin akan dibuat berdasarkan Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

Kementerian itu menjelaskan siasatan mendapati produk itu menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin memaklumkan bahawa saiz atau bentuk sesuatu makanan adalah tidak dikawal di bawah PPM 1985.

“Kecuali bagi ‘konfeksi jeli terkawal”dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan ‘AMARAN: BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK” dan perkataan “TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN’,” katanya

KKM juga menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa untuk memantau dan menasihati anak-anak supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama yang mempunyai risiko tercekik.

“Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan.

“Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan,” katanya.

Fahmi, murid Tahun 4 tercekik gula-gula dibelinya di luar SK Sungai Dua, Butterworth. Dia berada dalam keadaan kritikal selepas kejadian dan meninggal dunia 11 malam semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.