Bantuan Singapura diperlukan dalam siasatan ‘derma’ RM2.6 bilion, kata pegawai SPRM

Bantuan Singapura diperlukan dalam siasatan ‘derma’ RM2.6 bilion, kata pegawai SPRM

Pegawai SPRM Nasharudin Amir berkata kes itu perlu disiasat lebih lanjut walaupun terdapat pertemuan dengan penderma yang dikatakan itu, 'Putera Saud Abdulaziz Al-Saud'.

najib razak
Najib Razak dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, dia telah menasihatkan kerajaan untuk mendapatkan bantuan undang-undang bersama daripada Singapura berhubung kes ‘derma’ berjumlah RM2.6 bilion dihadapi Najib Razak.

Nasharudin Amir memberitahu perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu bahawa siasatan lanjut diperlukan biarpun ada pertemuan pada 2015 dengan individu yang didakwa sebagai penderma itu, ‘Putera Saud Abdulaziz Al-Saud’ di sebuah istana Arab Saudi.

Menurutnya, dia dan rakan sekerja Fikri Ab Rahim dan Hafaz Nazar, serta ketua mereka, Azam Baki (ketua SPRM sekarang) dan Timbalan Pendakwa Raya ketika itu, Dzulkifli Ahmad berada di negara Timur Tengah untuk menyiasat empat ‘surat derma” yang dikatakan itu.

Surat-surat bertarikh antara 1 Feb 2011 dan 1 Jun 2014 itu dikatakan telah ditandatangani dan dihantar oleh ‘Saud’ kepada Najib.

Menurut Nasharudin, pasukan itu bertemu ‘Saud’, wakil sahnya, Mohamad Abdullah Al Koman, dan individu dalam buruan Tan Kim Loong, di istana dan mengambil keterangan mereka.

Nasharudin memberitahu mahkamah dia tidak berpuas hati dengan kenyataan yang direkodkan daripada Abdullah dan Tan kerana mereka gagal membekalkan dokumentasi perbankan untuk menyokong dakwaan terbabit.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada kerajaan bertindak atas permintaannya itu.

Kenyataan saksi ‘disalin dan ditampal’

Menerusi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Nasharudin mengakui beliau dan Hafaz hanya mengambil masa kira-kira 25 minit untuk merekodkan keterangan Abdullah dan Tan.

Akram: Adakah anda bersetuju bahawa kenyataan mereka telah disediakan terlebih dahulu dan anda hanya perlu ‘menyalin dan menampal’ (kandungannya)?

Nasharudin: Ya.

Akram: Jadi, perjalanan ke Arab Saudi ini hanya untuk mengumpul draf keterangan, menikmati hidangan yang enak dan kemudian pulang?

Nasharudin: Ya

Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa tuan rumah pasukan Saudi telah mengaturkan mereka untuk menunaikan umrah.

Perbicaraan akan bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 24 Feb.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.