
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata vaksin berkenaan hasil daripada dana Respons Covid-19 Asean yang telah diumumkan beliau pada September tahun lalu.
Menurutnya, vaksin berkenaan akan memanfaatkan seramai 1,100 individu berisiko mendapat jangkitan mpox termasuk anggota kesihatan yang mengendalikan kes berkenaan, selain kontak rapat.
“Pemberian vaksin hanya berdasarkan penilaian pakar perubatan dan tiada vaksinasi umum dijalankan.
“Fokus utama program vaksinasi ini adalah untuk melindungi kumpulan berisiko mendapat jangkitan terutamanya petugas kesihatan,” katanya di Facebook.
Pada 2 Sept tahun lalu, Dzulkefly berkata Malaysia bakal menerima segera agihan ubat antivirus Tecovirimat (TPOXX) dan vaksin MVA-BN bagi virus mpox.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos lalu mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global susulan lonjakan kes strain baharu mpox, Clade 1b, di Republik Demokraktik Congo (DRC) yang turut merebak ke negara-negara berdekatan.