
Dalam temu bual dengan FMT, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menepis beliau akan bertanding jawatan nombor satu dalam parti seperti dicadangkan penganalisis politik.
Beliau turut menegaskan dirinya tidak pernah melobi untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan untuk pemilihan PAS, September depan.
“Ya, kita lihat tiada keperluan (jawatan presiden dipertandingkan),” kata Tuan Ibrahim mengulas sama ada beliau akan menolak jika ada kawasan mencalonkannya merebut kerusi presiden yang kali terakhir dipertandingkan 10 tahun lalu.
Pemilihan pada 2015 itu menyaksikan Hadi menewaskan Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim merampas kerusi timbalan presiden daripada Mohamad Sabu yang kemudiannya keluar menubuhkan Amanah.
Baru-baru ini, FMT memetik sumber melaporkan jawatan disandang Hadi dan Tuan Ibrahim mungkin dipertandingkan jika kedua-duanya memberi laluan pada pemilihan parti untuk penggal 2025-2027.
Difahamkan ada permintaan supaya Hadi berbuat demikian atas faktor kesihatan. Begitu juga Tuan Ibrahim yang dikatakan mahu memberi laluan namun hasrat terbabit dikatakan dibantah kumpulan pro ulama.
Pada 16 Feb lalu, Sinar Harian melaporkan cadangan penganalisis politik Ariff Aizuddin Azlan yang Tuan Ibrahim calon sesuai menggantikan Hadi kerana kedudukan kanan dalam parti serta mempunyai karakter sesuai.
Hadi harus kekal
Menurut Tuan Ibrahim, beliau secara peribadi berpendapat tiada keperluan menggantikan Hadi yang membawa PAS mencapai prestasi terbaiknya dengan memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 di sebalik pelbagai serangan dan kutukan.
“Orang serang kerana kejayaannya bukan kelemahan, kalau lemah takkan pencapaian PAS di tahap terbaik sekarang.
“Kejayaan besar itu harus dihargai bukan ancaman bahkan sepatutnya inilah satu peluang (perkuatkan parti)…bagi saya secara peribadi presiden harus kekal,” katanya yang bagaimanapun menjelaskan PAS tidak pernah menutup ruang pertandingan bagi semua jawatan.
“Cuma kita tengok biasanya presiden dan timbalan tidak dipertandingkan bukan kerana tak nak bagi bertanding tetapi perwakilan buat keputusan itu, sudah tiga kali pemilihan.”
Beliau turut menolak faktor kesihatan sebagai alasan menggesa Hadi memberi laluan dan yakin tokoh itu memiliki minda kuat untuk menguruskan parti dengan sokongan semua pemimpin serta ahli.
“Bukannya kita nak pergi bertumbuk dan bergaduh yang perlu tenaga kuat, tetapi bagaimana minda seseorang itu nak urus parti selain berdepan isu semasa.
“Secara fizikal Dr Mahathir Mohamad sudah hampir 100 tahun tapi idea (masih relevan), jadi yang penting politik ini bukan hanya fizikal tetapi kemampuan Hadi beri pandangan bagus dan susun strategi parti dengan disokong semua,” katanya.
Belum putus pertahan jawatan
Tuan Ibrahim berkata beliau juga belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan kedudukan timbalan presiden atau sebaliknya kerana ingin melihat pencalonan terlebih dahulu.
“Bergantung kepada pencalonan, kalau ada boleh pertimbang…buat masa ini kawasan belum mesyuarat dan buat keputusan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan tiada perbincangan untuk melantik Hadi sebagai mursyidul Am PAS menggantikan Hashim Jasin, jika beliau memutuskan tidak lagi mahu bertanding.
“Tiada langsung bincang Hadi dilantik mursyidul am dan presiden perlu dilantik orang lain, sama ada peringkat syura, pusat atau lajnah politik…pasal pemilihan pun tak bincang,” katanya.