Tiada pro-DAP dalam PAS, jangan label sebab tak suka, kata Tuan Ibrahim

Tiada pro-DAP dalam PAS, jangan label sebab tak suka, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan dasar DAP dan partinya berbeza sehingga kedua-dua memutuskan hubungan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli atau pemimpin PAS yang pro-DAP dinasihatkan menyertai parti itu.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menepis kewujudan kumpulan pro-DAP dalam parti itu seperti cuba dikaitkan segelintir pihak menjelang pemilihannya, September depan.

Beliau mendakwa dakwaan itu dibuat ‘orang luar’ yang bukan perwakilan menentukan pucuk pimpinan parti atau terdiri pensyarah universiti menjadi penganalisis politik didakwa cenderung kepada lawan.

Tuan Ibrahim menegaskan, jika ada ahli atau pemimpinnya pro kepada DAP, lebih baik mereka menyertai parti itu memandangkan dasar perjuangan kedua-duanya berbeza sehingga hubungan putus sebelum ini.

“Saya boleh sahkan, jadi tak perlu nak kategori orang ini kerana bila tak suka kita binkan (label) dia pro-DAP.

“Puncanya kita tak suka dan kata lain (label orang pro-DAP), dalam PAS tiada kumpulan sokong DAP dan dasarnya,” katanya dalam temu bual bersama FMT di Pejabat Agung PAS.

Sabtu lalu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Mokhtar Senik menegaskan parti itu tidak perlu pandangan DAP dan ‘individu mesra dengannya’ dalam menentukan barisan kepimpinan pada pemilihannya.’

Katanya, sebagai parti Islam, PAS masih memerlukan gandingan Hadi Awang dan Tuan Ibrahim yang menduduki kerusi presiden serta timbalan sejak 2015.

Bagaimanapun, Mokhtar tidak menjelaskan secara lanjut kenyataannya dan mendedahkan identiti individu ‘mesra DAP’.

Sebelum ini, tiada pemimpin DAP menyuarakan pendapat atau cadangan berkait pemilihan PAS dijangka pada muktamarnya ke-70 di Kedah, September depan.

Bukan nak buat pondok, tapi tadbir negara

Sementara itu, Tuan Ibrahim menjangkakan pertembungan antara kumpulan pro ulama dan profesional pada pemilihan kali ini tidak akan sampai ke tahap seperti 2015 yang menyaksikan ramai pemimpinnya keluar parti.

Antaranya Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Dzulkefly Ahmad yang menubuhkan Amanah dengan menjadi sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH).

Beliau secara peribadi berpendapat, tiada istilah persaingan kerana PAS sebagai sebuah parti politik perlu disokong pelbagai kelompok.

“Kita bukan nak buat pondok tetapi mahu tadbir negara, bila mentadbir ini perlu disokong dan diterima semua.

“Oleh itu kita perlu pakar ekonomi, undang-undang serta bidang selain agama dalam PAS, tokoh ini bantu parti dan saling melengkapi dengan menerima kepimpinan ulama sebagai teras,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.