
Beliau mengulas pertanyaan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) di Dewan Rakyat mengenai kos dan penerbitan video itu bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama tahun depan.
“(Penghasilan) video promosi ini melalui proses tender dan semua kelulusan diperoleh daripada Kementerian Kewangan,” katanya sambil menambah video pendek disediakan secara percuma kepada kementerian.
Sebagai tambahan kepada video penuh 40 minit, katanya terdapat video acah dengan tumpuan diberikan ke atas satu-satu negeri selain bagi memenuhi minat segmen pelancong berlainan.
“Video penuh berdurasi 40 minit dan merangkumi seluruh negara. Kita juga ada lima video berbeza menumpukan kepada negeri tertentu.
“Ada ketika, pelancong hanya mahu melihat video yang ingin dirancang untuk dikunjungi,” katanya.
Pada 9 Jan, Tiong turut memberi jaminan bahawa video promosi penuh akan memberi menyerlahkan elemen unik setiap negeri.
Katanya, beliau telah mengarahkan pegawai tinggi kementerian, termasuk Ketua Setiausaha Roslan Abdul Rahman, supaya “menambah baik” video penuh yang telah siap itu.
“Video perlu disusun dengan teratur supaya pelancong asing tidak terkeliru dengan unsur-unsur berbeza setiap negeri. Ia tidak sepatutnya melompat secara tiba-tiba dari satu babak ke satu babak lain,” katanya.
Sebelum ini, video acah diterbitkan mengundang kritikan Pemuda Bersatu dan PAS, yang mendakwa ia tidak memaparkan Malaysia sebagai negara bermajoriti orang Islam.
Mereka berhujah video itu terlalu fokus kepada tempat peribadatan bukan Islam seperti gereja dan kuil.
Video acah berdurasi 41 saat itu memaparkan pelbagai tarikan pelancongan, termasuk Central Market di Kuala Lumpur, Jambatan Gantung di Langkawi, Batu Caves di Selangor, Christ Church di Melaka, dan beberapa persembahan kebudayaan.