
Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata 15,764.90 tan metrik sisa e-waste dianggarkan bernilai RM55 juta disita dalam operasi itu dan sampel bahan terbabit akan dijadikan bukti di mahkamah.
“Semua bahan disita itu akan dipantau dan dalam masa sama sampel akan diambil sebagai bahan bukti di mahkamah sebelum dilelong,” katanya menurut Bernama dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Azmi Abu Kassim di Bukit Aman.
Beliau berkata, terdapat 156 kemudahan e-waste yang dilesenkan mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), dengan 111 daripadanya ialah fasiliti e-waste separa dan baki 45 fasiliti e-waste penuh.
“Mana-mana kilang yang tiada dalam senarai dilesenkan dikategorikan premis haram dan tindakan boleh diambil.”
JAS memeriksa 47 kilang dalam Op Hazard di seluruh negara 15 Feb lalu, di mana 30 daripadanya beroperasi secara haram, tujuh premis barang lusuh, enam premis berlesen bawah JAS, tiga premis berlesen bawah pihak berkuasa tempatan dan sebuah gudang haram.
Antara kesalahan dikesan ialah gagal mematuhi syarat lesen, kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS, gagal mengemukakan kebenaran bertulis dan laporan kajian EIA.
Menurutnya, 37 premis dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127, 59 notis arahan dan 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Beliau berkata, e-waste melalui proses tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan, termasuk penyakit kanser kepada penduduk berdekatan kilang pemprosesan itu.
“Pelbagai bahan kimia boleh dilepaskan ketika proses peleburan e-waste, termasuk logam berat seperti arsenik yang boleh menyebabkan penyakit kanser dan jika bahan buangan kilang haram ini tidak disimpan dengan betul, ia boleh meresap ke tanah, seterusnya mencemari air tanah dan sungai.”
Katanya, peralatan elektrik dan elektronik yang tidak boleh digunakan lagi perlu dilupuskan secara mesra alam di fasiliti dilesenkan JAS.
Sepanjang 2024, JAS menjalankan 44 pemeriksaan ke atas kilang memproses e-waste secara haram dengan lapan diarahkan tutup dan baki dalam tindakan undang-undang.