
Beliau berkata, suspek digelar “Ah Boy” dipercayai mengambil syabu (methamphetamine) yang membuatkannya “trigger-happy” sebelum melakukan pecah rumah, samun dan jenayah lain.
“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 30-an itu terlibat dalam pengedaran dan penggunaan dadah. Jadi, kesan yang mendalam atas penggunaan dadah ini menyebabkan dia berkelakukan sedemikian.
“Kita percaya suspek mengambil dadah jenis syabu dan ujian darah ke atas mayat lelaki itu mendapati dia positif dadah,” katanya menurut Berita Harian selepas sebuah majlis di Shah Alam.
Menurutnya, suspek pernah terbabit samun berkumpulan, tetapi bergerak bersendirian sejak setahun, dua ini mungkin kerana dia tidak serasi dengan ahli kumpulan.
“Sejak setahun dua ini, suspek melakukan samun serta rompakan untuk keperluan sendiri. Bila habis (hasil samun) dia buat jenayah lagi…Itu ‘habit’ dia dalam setahun dua ini.
Hussein berkata, suspek menggunakan dua pistol semi automatik jenis Sig Sauer dan Retay ketika melakukan kegiatan jenayah.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dari mana dia mendapat bekalan senjata api itu, tetapi polis percaya suspek membelinya dalam negara.
Pada 8 Feb lalu, seorang pekerja pembersihan dilaporkan cedera di bahagian kaki dalam tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam. Suspek kemudian melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan terbabit.
Hussein dilaporkan berkata, penembak itu terbabit dalam lima jenayah lain sebelum ditembak mati di sebuah hotel di Pulau Ketam awal pagi Selasa lalu.
Katanya, suspek pernah ke Melaka, Banting dan Sabak Bernam sebelum bermalam di Pulau Ketam. Dia dikatakan merancang melarikan diri ke Thailand dari sana dengan bot.
Hussein berkata, suspek melakukan 15 jenayah – sembilan jenayah sebelum tembakan di pusat beli-belah Setia City dan lima lagi selepas itu.