
Menurut Miti, eksport mengembang empat bulan berturut-turut, meningkat 0.3% kepada RM122.79 bilion, manakala import naik 6.2% kepada RM119.16 bilion.
Katanya, ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM3.63 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-57 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Prestasi eksport pada Jan 2025 disokong oleh pertumbuhan kukuh sektor utama, khususnya perkilangan dan pertanian.
“Tahun ini bermula dengan prestasi bulanan yang memberangsangkan dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan kenaikan hampir RM7 bilion,” kata Miti dalam satu kenyataan.
Selain itu, barangan lain yang turut mencatatkan pertumbuhan eksport termasuk minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Dari segi pasaran, Miti berkata eksport ke Amerika Syarikat dan Taiwan merekodkan pertumbuhan dua digit pada Jan 2025, disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E khususnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik.
Berikutan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh pada 2024, Miti berkata kementerian itu dan Matrade akan terus komited untuk memacu pertumbuhan eksport dengan mengukuhkan hubungan dengan rakan dagang utama.
Selain itu, katanya, Miti dan Matrade akan terus meneroka pasaran baharu dan memberi sokongan yang diperlukan oleh pengeksport Malaysia untuk mengekalkan daya tahan dan kejayaan jangka panjang yang mampan.