
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) itu mengulas demikian bagi menjelaskan peranan JK Harmoni tidak akan membincangkan dasar agama Islam.
“JK Harmoni langsung tidak bincang hal-hal dasar agama Islam sebab agama Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memang jelas di bawah kuasa sultan dan kerajaan negeri.
“Jadi, bagaimana kita nak bincangkan tentang agama Islam dalam jawatankuasa ini sebab kuasa itu berada di bawah kerajaan negeri,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Ekrima Said Sabri, di Putrajaya.
Beliau menegaskan jawatankuasa itu dianggotai para ulama dan ketua agama yang akan memainkan peranan memberikan penjelasan tentang isu berbangkit berkaitan agama, serta mengajak masyarakat tidak menghina agama lain.
”Jadi, maknanya ketua-ketua agama ini (dalam JK Harmoni) akan mengambil peluang untuk berbincang dan kalau ada isu melibatkan salah faham terhadap agama, maka kita harapkan mereka dapat memainkan peranan,” katanya.
Sebanyak 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli JK Harmoni dalam satu mesyuarat semalam.
Menurut jawatankuasa itu, mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai, dan wakil Unifor, Sarawak.