Inflasi 2025 diunjur sederhana 2 hingga 3.5%

Inflasi 2025 diunjur sederhana 2 hingga 3.5%

Kementerian Kewangan berkata ia ambil kira antaranya inflasi makanan dan minuman, gaji minimum, gaji penjawat awam, dan penyasaran subsidi bahan api.

Kementerian Kewangan berkata, trend pertumbuhan harga kumpulan makanan dan minuman menurun ketara sejak 2022, iaitu daripada 5.8% (2022) kepada 4.8% (2023), dan seterusnya 2% (2024).
PETALING JAYA:
Inflasi tahun ini diunjur meningkat sederhana dalam julat 2% hingga 3.5%, kata Kementerian Kewangan.

Katanya, unjuran itu mengambil kira pelbagai faktor utama, seperti trend inflasi bagi komponen utama indeks harga pengguna (IHP), terutamanya inflasi kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8% daripada wajaran keseluruhan IHP.

“Unjuran berkenaan turut mempertimbangkan perubahan harga komoditi global serta pelaksanaan beberapa dasar domestik seperti peningkatan kadar gaji minimum, penstrukturan semula skim gaji penjawat awam, penyasaran subsidi bahan api petrol, serta peluasan skop perkhidmatan bercukai dan perubahan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8%,” katanya dalam jawapan Parlimen.

Kementerian berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Wan Ahmad Fayhsal ingin tahu adakah kerajaan mengunjurkan prospek inflasi bagi 2025 mengambil kira inflasi makanan dan minuman meningkat.

Dalam pada itu, trend pertumbuhan harga kumpulan makanan dan minuman, merupakan penyumbang terbesar dalam IHP, telah menunjukkan penurunan ketara sejak 2022, iaitu daripada 5.8% (2022) kepada 4.8% (2023), dan seterusnya 2% (2024).

“Bagi subkumpulan makanan di rumah yang mengukur perubahan harga barangan makanan mentah seperti beras, daging, ikan, dan ayam, inflasi bagi subkumpulan ini pada Oktober dan November 2024 menunjukkan peningkatan sederhana sebanyak 0.6% bagi kedua-dua bulan berkenaan.”

Kementerian Kewangan berkata, ini membuktikan langkah diambil kerajaan seperti dasar pelaksanaan subsidi bersasar, kawalan harga serta pemantauan dan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya membantu menstabilkan harga barang makanan.

Selain itu, harga komoditi utama dunia turut dijangka kekal stabil akan mengurangkan tekanan kepada inflasi meskipun terdapat ketidaktentuan dalam persekitaran global.

Minyak mentah Brent diunjur antara USD75 hingga USD80 setong pada 2025, manakala harga minyak sawit mentah pula dijangka berada dalam lingkungan RM3,500 hingga RM4,000 satu tan dalam tempoh sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.