Bangun Bandar Malaysia ambil masa separuh abad

Bangun Bandar Malaysia ambil masa separuh abad

Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata projek itu akan dibangun secara terkawal untuk memastikan daya maju komersialnya.

bandar malaysia
Gambaran Bandar Malaysia yang sebelum ini menempatkan pangkalan tentera udara sepanjang Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pembangunan lengkap projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion dijangka mengambil masa separuh abad, kata Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.

Katanya, penjualan tanah seluas 486 ekar oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) atas dasar “willing buyer-willing seller”, mengambil kira matlamat strategik dan sosial negara untuk tempoh jangka panjang.

Kedua-dua BMSB dan KLCCH merupakan syarikat berkaitan kerajaan.

Anwar berkata, projek Bandar Malaysia akan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh KLCCH, iaitu KLCC Development Sdn Bhd (KLCCD).

“Ini termasuk penyediaan 10,000 unit perumahan mampu milik dengan ruang terbuka dan taman, serta pemeliharaan sebahagian tanah seluas 50 ekar sebagai tanah rizab Melayu.

“Projek Bandar Malaysia ini akan dibangunkan secara terkawal untuk memastikan daya maju komersialnya, dengan mengambil kira dinamik permintaan dan penawaran dalam pasaran hartanah.

“Berdasarkan saiz tanah Bandar Malaysia, keseluruhan pembangunan dijangka mengambil masa sekitar 50 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Anwar mengulangi bahawa pihak kementerian meyakini pengalaman dan kepakaran KLCCD dalam pembangunan hartanah, syarikat tersebut mampu untuk merealisasikan pembangunan projek Bandar Malaysia.

Sebelum ini, KLCCH mengumumkan perolehan 486 ekar tanah Bandar Malaysia yang jumlahnya tidak didedahkan pada Disember, dengan perjanjian jual beli ditandatangani pada Oktober.

Tanah berkenaan sebelum ini menempatkan Pangkalan Udara Diraja Malaysia, Jalan Sungai Besar, Kuala Lumpur.

Pemaju berkenaan berperanan membangun dan menguruskan hartanah penting di Kuala Lumpur City Centre dan Putrajaya.

Pertama kali diumumkan pada 2011, Bandar Malaysia dilihat sebagai pembangunan berorientasikan transit penggunaan campuran dan dijangka mengintegrasikan pelbagai rangkaian pengangkutan, termasuk laluan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Projek seluas 196 hektar itu telah menghadapi beberapa kelewatan sebelum pembangunan terbengkalai pada 2021 apabila perjanjian dengan konsortium IWH-CREC gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.