
Ahli akademik automotif Chew Kim Loong berkata langkah itu baik untuk mengenal pasti sebarang kecacatan pada kenderaan terbabit dan diperbaiki sebelum berada di jalan raya.
Namun, katanya penting mengimbangkan kos kepada pemilik kenderaan terbabit terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) yang mungkin akan terbeban dengan langkah itu.
“Kerajaan mungkin boleh pertimbang pemberian insentif atau subsidi khusus untuk kenderaan dalam julat harga rendah, manakala kenderaan dengan nilai lebih tinggi boleh dikenakan kos penuh.
“Dengan ini, bukan sahaja dapat memastikan hanya kenderaan yang selamat dan berada dalam keadaan baik dapat mendapatkan pembaharuan cukai jalan, malah tidak beban golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse mencadangkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas perlu diwajibkan menjalani pemeriksaan semula sebelum boleh memperbaharui cukai jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Sementara itu, penganalisis automotif Hezeri Samsuri berkata pemeriksaan berkala untuk kenderaan berusia berkenaan bukan isu baharu dan telah dilakukan banyak negara maju.
Beliau berkata, langkah itu juga dapat membantu pengumpulan data kerajaan bagi tujuan perancangan dasar pengangkutan pada masa depan serta mengawal kewujudan kenderaan lama.
“Jika terlalu banyak kenderaan lama masih digunakan, pelepasan kadar asap akan meningkat.
“Menerusi pemeriksaan itu juga boleh memberi panduan kepada pengguna menggantikannya dengan kenderaan baharu yang lebih selamat dan bersih dari kadar pelepasan asap,” katanya.
Menurutnya, tempoh pinjaman sehingga sembilan tahun menyebabkan ramai pemilik menyimpan kenderaan lebih lama.