Adakah benar anda ambil berat soal rakyat?, Syerleena soal penentang akta pembaharuan bandar

Adakah benar anda ambil berat soal rakyat?, Syerleena soal penentang akta pembaharuan bandar

Ahli Parlimen Bukit Bendera tertanya-tanya sama ada pengkritik akta dicadangkan itu hanya mahu mengekalkan status quo demi kepentingan politik sendiri.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, berkata cadangan penggubalan akta itu bagi memastikan generasi masa depan tidak mewarisi setinggan, dan bandar kekal vibrant dan berdaya huni. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP Syerleena Abdul Rashid mempersoal niat penentang cadangan penggubalan akta pembaharuan semula bandar, di sebalik dakwaan pembangkang ia usaha halus menyingkirkan orang Melayu dan India.

Wakil rakyat Bukit Bendera dalam kenyataan berkata beliau tertanya-tanya sama ada penentang terbabit benar-benar mahu menjaga rakyat atau mereka hanya mahu mengekalkan status quo untuk kepentingan politik sendiri.

“Jika mereka benar-benar mengambil berat tentang rakyat, jadi mereka mesti mengakui tidak melakukan apa-apa bukan satu pilihan.

“Pembaharuan bukan bermaksud merampas – ia mengenai memberikan masyarakat masa depan lebih baik.”

Syerleena berkata, cadangan penggubalan berkenaan yang belum lagi dibentang di Parlimen itu bertujuan memastikan generasi masa depan tidak mewarisi kehidupan setinggan dan mewujudkan bandar berdaya huni.

Katanya, peluang ekonomi juga akan berkembang seiring pembangunan bandar.

Syerleena berkata, cadangan akta itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan hartanah, selain meningkatkan ekonomi setempat.

“Akta pembaharuan semula bandar menyasarkan kepada peningkatan kualiti hidup ribuan rakyat Malaysia yang ketika ini menjalani kehidupan dalam perumahan usang, sambil memastikan kemajuan bandar tidak dikhususkan kepada golong elit, dan setiap rakyat berhak untuk tinggal di rumah yang selamat dan moden.”

Awal hari ini, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengecam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kerana mendakwa cadangan akta tersebut bertujuan halus menyingkirkan orang Melayu dan India yang miskin dalam kawasan bandar, dengan menyifatkan tuduhan sedemikian mengarut.

Lim berkata akta itu ingin digubal bagi memulihkan kawasan kediaman yang lama dan tidak lagi selamat.

Awal hari ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata akta terbabit akan memberi kerajaan dan pemaju kuasa mengambil alih tanah dan kediaman tanpa keizinan pemilik.

Namun, Syerleena menolak dakwaan itu sambil menyatakan tidak akan ada rampasan secara paksa.

“Kerajaan telah menjelaskan pemilikan adalah kekal dilindungi dan pembangunan semula akan dilaksanakan menerusi perundingan dan konsensus bersama komuniti terkesan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.