
Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata, pihaknya menahan semua lelaki itu selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari yang sama.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan empat suspek berusia antara 17 hingga 23 tahun pada hari sama. Beberapa peranti turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.
Tan berkata, tiga suspek direman selama tiga hari manakala seorang lagi direman sehari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan kes akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Sejak Selasa lalu, tular satu video memaparkan tiga lelaki bersama seorang anggota polis ‘bertegang urat’ di hadapan IPD Kulai.
Seorang lelaki juga dilihat meninggikan suara ke arah anggota polis berkenaan.