2 bekas pengarah didakwa tipu pelaburan diesel

2 bekas pengarah didakwa tipu pelaburan diesel

Shamsul Rijal Mohd Yussof dan Ahmad Ghazali Md Kassim didakwa memperdayakan seorang lelaki memindahkan RM752,000 untuk melaburkan dalam perniagaan itu.

kl high court
Shamsul Rijal Mohd Yussof dan Ahmad Ghazali Md Kassim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memperdaya seorang lelaki dalam perniagaan jual beli minyak diesel dengan menjanjikan keuntungan RM1.5 juta.
KUALA LUMPUR:
Dua bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan serta perdagangan minyak, gas dan petroleum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu dalam pelaburan perniagaan jual beli minyak diesel, tahun lepas.

Shamsul Rijal Mohd Yussof dan Ahmad Ghazali Md Kassim, masing-masing berusia 73 tahun, didakwa menipu Afifi Ahmad, 48, dengan memperdayakannya untuk melabur dalam perniagaan jual beli minyak diesel dengan menjanjikan keuntungan sebanyak RM1.5 juta.

Perbuatan itu mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang RM752,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh yang didaftarkan atas nama Syarikat Spectrum Global Sdn Bhd di sebuah bank di Brickfields pada 26 Feb 2024.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff mencadangkan jaminan RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Ghazali memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga serta masalah kesihatan manakala Shamsul Rijal yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah atas alasan sama.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.