
Menteri Dzulkefly Ahmad menasihatkan orang ramai tidak bimbang kerana ia bukan melibatkan penyebaran wabak berskala besar.
“Kita akan terus membuat penyiasatan dalam hal ini (jangkitan wabak kusta) dan menangani perkara ini segera.
“Ia bukanlah peningkatan mendadak tetapi hanya kes terpencil sahaja. Kita harap dapat mengelakkan jangkitan wabak itu (pada masa depan),” katanya menurut Utusan Malaysia.
Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah telah mengesahkan bilangan pesakit di kedua-dua kampung berkenaan dan saringan secara agresif dijalankan KKM.
KKM sentiasa menjalankan proses intervensi, pencegahan dan pengesanan wabak kusta melalui Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang berperanan penting dalam usaha membanteras dan mengawal penyakit kusta di negara ini.
Awal hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, berkata seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia akibat kusta selepas mengalami demam seminggu.
Katanya, lapan lagi Orang Asli turut dijangkiti penyakit itu, melibatkan Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah, yang diarah dikuarantin.
Menurut laporan, penduduk terjejas melibatkan mangsa berusia tujuh hingga berusia 85 tahun dengan masing-masing lima dari Kampung Chergun dan empat dari Guntur disahkan mengidap kusta, pada 2 Jan.