Undang-undang antidiskriminasi tidak akan dapat atasi sistem berakar umbi, kata Ramasamy

Undang-undang antidiskriminasi tidak akan dapat atasi sistem berakar umbi, kata Ramasamy

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan kata diskriminasi juga dalam sistem politik dan kaum yang mendorong perkara itu.

p ramasamy
Bekas wakil rakyat, P Ramasamy kata ahli politik cenderung mengukuhkan sistem perkauman daripada mencabarnya.
PETALING JAYA:
Undang-undang antidiskriminasi tidak akan dapat mengatasi sistem kaum dan agama yang sudah berakar umbi, menurut seorang bekas Ahli Parlimen.

P Ramasamy dalam kenyataan berkata diskriminasi bukan semata-mata pada perbuatan menghina kaum, tetapi juga dalam sistem politik dan sosial yang mendorong perkara itu.

“Walaupun pihak berkuasa mengecam penghinaan kaum, ia gejala sistem yang diwarisi dari masa lalu dan berkemungkinan berterusan pada masa depan.

“Malangnya, ahli politik cenderung untuk mengukuhkan sistem perkauman ini daripada mencabarnya kerana mengekalkan sistem itu sering memastikan kuasa politik,” katanya.

Bekas wakil rakyat Batu Kawan itu berkata undang-undang antidiskriminasi akan menghadapi tentangan ketara daripada “golongan yang mendapat manfaat daripada sifat apartheid dalam sistem kaum dan agama”.

Penggubalan akta antidiskriminasi kaum itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, untuk membendung insiden perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu bersikap ekstremis, susulan kejadian membabitkan seorang penjual jagung baru-baru ini.

Ramasamy berkata undang-undang yang dicadangkan itu tidak serasi dengan dasar formal atau tidak formal yang mewajarkan diskriminasi.

“Kerajaan berturutan telah menunjukkan bahawa prinsip murni tindakan afirmatif telah digunakan untuk mengesahkan dasar perkauman berat sebelah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.