Suspek tembakan di KLIA kini mengaku salah 7 tuduhan

Suspek tembakan di KLIA kini mengaku salah 7 tuduhan

Hafizul Harawi antara lain didakwa memiliki senjata api dan MyKad tiga individu serta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Hafizul Harawi pada awalnya mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan pada 24 April 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki yang terbabit kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 tahun lalu menukar pengakuannya kepada bersalah atas tujuh pertuduhan, termasuk memiliki senjata api, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Berita Harian melaporkan Hafizul Hawari, 38, menukar pengakuannya selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abdullah.

Mahkamah menetapkan Selasa depan untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Hafizul didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki sepucuk pistol tanpa lesen sah, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki 33 butir peluru dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, iaitu memiliki satu bungkusan mengandungi mercun bola tanpa permit.

Dia turut berdepan tiga pertuduhan mengikut 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki tiga kad pengenalan individu serta satu tuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah Honda Civic di pekarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu pada 15 April 2024.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.

Hafizul turut berdepan tuduhan cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, dan mencederakan pengawal peribadi mangsa dalam serangan di KLIA pada 14 April 2024. Dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.