
“Manalah saya layak. Saya ini (sebagai naib presiden) pun begitu berat bagi saya. Tentulah lebih berat dari itu,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Malah, beliau masih mempertimbangkan sama ada akan mempertahankan jawatan naib presiden, yang disandang sejak 2019.
“Kalau saya rasa macam saya perlu beri ruang kepada muka-muka baharu yang lebih segar umpamanya, mengapa tidak saya mengundurkan diri,” katanya.
Samsuri dilapor berkata demikian selepas ditanya mengenai kemungkinan namanya dicalonkan untuk jawatan presiden dan timbalan pada pemilihan PAS September ini.
Kelmarin, FMT memetik sumber melaporkan dua jawatan itu mungkin dipertandingkan, selepas kali terakhir pada 2015.
Sumber memberitahu perkara itu mungkin berlaku jika Hadi Awang, yang menyandang sejak 2002, mengundur diri seperti diminta segelintir ahli susulan keadaan kesihatan.
Penganalisis melihat Samsuri layak diketengahkan untuk jawatan presiden, sekiranya PAS merasakan ia perlu ‘agresif’ untuk pilihan raya akan datang, dengan memberi peluang kepada ‘teknokrat’.
Memandangkan PAS dianggap sebagai komponen terkuat dalam Perikatan Nasional, nama Samsuri disebut-sebut di sebalik cakap-cakap supaya calon perdana menteri didatangkan daripada parti itu.