‘Gag order’ tak prejudis Najib, elak kemudaratan institusi diraja, kata afidavit

‘Gag order’ tak prejudis Najib, elak kemudaratan institusi diraja, kata afidavit

Peguam Cara Negara Suzana Atan berkata larangan bersuara bagi semakan kehakiman adendum demi pastikan pendengaran kes berjalan tanpa prejudis.

Najib Razak
Najib Razak mendapat kebenaran semakan kehakiman berkait adendum yang membenarkannya menghabiskan baki hukuman penjara dalam sabitan kes SRC International menerusi tahanan rumah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perintah larangan bersuara (gag order) tidak akan memprejudiskan bekas perdana menteri, Najib Razak, sebaliknya bertujuan menghalang komen prejudis dan hak perbicaraan adil, kata Peguam Cara Negara Suzana Atan.

Beliau dalam afidavit yang difailkan hari ini, berkata tidak dapat dinafikan terdapat laporan media, kenyataan awam, forum disertai pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk peguam pemohon sendiri yang membincangkan perkara subjek dalam permohonan semakan kehakiman itu.

“Justeru, perkara ini membuktikan bahawa perintah larangan bersuara ini perlu bagi memastikan pendengaran kes semakan ini dapat dijalankan tanpa sebarang prejudis.

“Saya menegaskan bahawa perbincangan yang negatif, andaian mengelirukan, dan bersifat fitnah secara terbuka dalam kalangan masyarakat boleh menggugat kepercayaan awam dan mencetuskan kemudaratan terhadap institusi diraja,” katanya menurut Bernama.

Katanya, perintah larangan bersuara juga bagi mengelak andaian mengelirukan, termasuk kemudaratan terhadap institusi diraja.

“Saya menegaskan bahawa perbincangan yang negatif, andaian mengelirukan, dan bersifat fitnah secara terbuka dalam kalangan masyarakat boleh menggugat kepercayaan awam, dan mencetuskan kemudaratan terhadap institusi diraja,” katanya.

Suzana berkata, wajar bagi mahkamah mempertimbangkan langkah perlindungan bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa gangguan berpunca daripada perbincangan awam tidak terkawal.

Pada 20 Jan, Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan perintah larangan bersuara atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif dan Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Feb untuk pengurusan kes itu secara e-Review.

Pada 6 Jan, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.

Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan itu yang bertarikh 29 Jan tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah jika dokumen tambahan itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lalu, Hakim Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman memutuskan bahawa empat afidavit menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi dan Naib Presiden Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Lembaga Pengampunan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.