Naimah gagal rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi

Naimah gagal rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi

Hakim Azura Alwi berkata tiada isu Perlembagaan dalam kes pengisytiharan aset dan menetapkan sembilan hari perbicaraan bermula November.

Naimah Khalid didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan beberapa syarikat dan plot tanah termasuk dua kenderaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen menolak permohonan Naimah Khalid untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi melibatkan pendakwaan gagal mengisytiharkan aset dihadapinya.

Pada 29 Feb tahun lalu, Naimah memohon persoalan undang-undang itu dirujuk berkaitan Seksyen 30(5), 36(2), dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009: dan Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu kerana permohonan Naimah tiada merit memandangkan tiada isu Perlembagaan berbangkit dalam kes tersebut.

Katanya, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa permohonan adalah remeh, menyusahkan, dan penyalahgunaan proses mahkamah kerana Naimah tidak didakwa mengikut Seksyen 32 Amla.

“Tiada isu dan kaitan langsung berkait perkara dipertikaikan atau pertuduhan untuk dipertimbangkan mahkamah ini,” katanya.

Azura juga berkata, Seksyen 30 dan 36 Akta SPRM adalah peruntukan bagi siasatan, dengan rekod Parlimen (hansard) menunjukkan ia digubal untuk membantu siasatan rasuah.

“Petikan daripada hansard, yang menjadi kenyataan rasmi Parlimen, jelas menunjukkan rasional di sebaliknya penggubalan peruntukan undang-undang untuk membanteras jenayah rasuah, menjalankan siasatan, dan merekodkan keterangan saksi dengan mengambil kira kes rasuah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sembilan tarikh pendengaran kes: 19-21 Nov, 21-23 Jan, 2026, dan 3-5 Feb 2026. Sebutan semula kes dijadual pada 14 Mei.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pihak pendakwaan akan memanggil 11 saksi, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Tanah dan Galian, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, termasuk beberapa bank untuk memberi keterangan.

Pada 23 Jan tahun lalu, Naimah, 67, balu kepada Daim Zainuddin, mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset di bawah Akta SPRM.

Beliau didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan beberapa syarikat, beberapa plot tanah, di sini, dan di Pulau Pinang, termasuk dua kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.