
Fadillah menjelaskan pelantikan berkuat kuasa 1 Jan lalu itu dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 atau Akta 610 iaitu di bawah bidang kuasanya sebagai menteri bertanggungjawab bagi pembekalan elektrik selain persetujuan menteri berkait pembekalan gas iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Pelantikan KSN sebagai pengerusi ST berkuat kuasa 1 Jan 2025 adalah secara sementara sehingga calon pengerusi ST baharu dikenal pasti dan dilantik selaras peruntukan Seksyen 5(2) Akta 610,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Fadillah yang juga timbalan perdana menteri turut menjelaskan berdasarkan Akta 610 tiada peruntukan menghalang penjawat awam dilantik sebagai anggota ST.
“Oleh itu, pelantikan KSN sebagai pengerusi ST tidak bertentangan Perkara 3.3.7 Surat Pekeliling Am Bilangan 5 Tahun 2024.
“Tambahan pula, KSN selaku ketua kepada semua penjawat awam di Malaysia tidaklah dibebankan malah dapat memudahkan pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan perkembangan ekonomi terutamanya melibatkan pengurusan tenaga negara,” katanya.
Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Fadillah menjelaskan sama ada pelantikan Shamsul Azri bertentangan garis panduan tatakelola yang melarang penjawat awam memegang jawatan pengerusi dalam badan berkanun.
Shamsul Azri menggantikan Mohamad Razif Abd Mubin.
Ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001, ST bertanggungjawab mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia.
Sebelum ini, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming menyuarakan kebimbangan pelantikan Shamsul Azri tidak konsisten dengan penekanan Anwar terhadap tadbir urus, berdasarkan garis panduan pengurusan badan berkanun.
Menurutnya, mengikut garis panduan dalam pekeliling bertarikh 30 April 2024, Perkara 3.3.6 secara khusus menyatakan pengerusi badan berkanun tidak boleh dipilih dalam kalangan penjawat awam.