Kapal kargo terbakar, pemilik dakwa terpaksa bayar 60% harga kereta tersadai

Kapal kargo terbakar, pemilik dakwa terpaksa bayar 60% harga kereta tersadai

Sudah tiga bulan berlalu sejak kejadian, namun pemilik kereta dakwa masih belum dapat kenderaan kembali.

Kenderaan yang tersadai di Pelabuhan Klang
Kenderaan yang tersadai di Pelabuhan Klang akibat kejadian kapal kargo terbakar, dengan ada antaranya mengalami pelbagai kerosakan akibat kebakaran.
PETALING JAYA:
Hampir 1,000 kenderaan yang sepatutnya dihantar ke Kota Kinabalu didakwa tersadai di Pelabuhan Klang selepas kapal kargo yang membawanya terbabit kebakaran 3 Dis lepas.

Dalam perjalanan ke kepulauan Borneo, kapal kargo itu dilaporkan terbakar pada kedudukan 9.1 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh, Batu Pahat, memaksa ia ditunda kembali ke Pelabuhan Klang.

Sebuah video dimuat naik oleh akaun TikTok menunjukkan deretan kenderaan yang diparkir, dengan ada antaranya mengalami pelbagai kerosakan akibat kebakaran itu.

Video itu mendakwa pemilik kenderaan perlu membayar 60% nilai kereta jika mahu mendapatkan kembali kenderaan mereka.

Salah seorang pemilik kenderaan, Firdaus Mohammad Yusza memberitahu FMT, sudah hampir tiga bulan berlalu sejak kejadian kebakaran kapal itu, namun puncanya masih belum diketahui dan sehingga kini juga kereta mereka ditahan.

“Ejen beritahu kereta kena tahan sebab klausa dipanggil General Average (GA) menyatakan bahawa kalau kereta terbakar di laut, kerugian ditanggung bersama dengan syarikat kapal.

“Jadi pemilik persendirian, termasuk yang keretanya tak terjejas, kena bayar kepada syarikat kapal mengikut nilai 60% harga kereta. Banyaklah kami kena bayar.

“Klausa GA tersebut, tidak pasti sama ada ia perlu ditanggung oleh syarikat ejen penghantar atau pemilik kenderaan. Sekarang, ejen seolah-olah malu lepas tangan, kata Firdaus, 41, yang baru pertama kali menghantar kereta ke Sabah.

Beliau kesal apabila pemilik kenderaan dituduh gagal mengambil perlindungan insurans maritim, selepas membayar sejumlah wang yang banyak untuk menghantar keretanya ke Tawau.

“Saya tanya ejen kenapa tak masukkan sekali insurans dalam invois, dan dia soal saya semula ‘kenapa tidak tanya?’. Kita tidak tahu (perkara ini) sebab bukan bidang kami.

“Kebanyakan pemilik kenderaan tidak tahu. Kita ingat apa yang sudah kita bayar termasuk sekali insurans,” katanya yang membayar sehingga RM2700 untuk urusan itu.

Firdaus yang baru sahaja berpindah dari Kuala Kangsar ke Tawau tiga bulan lepas kini harus menanggung kos tidak perlu apabila terpaksa menggunakan khidmat e-panggilan dalam urusan seharian, tambah lagi apabila sesi baharu persekolahan bermula.

Pemilik kenderaan turut berdepan kos tambahan, iaitu caj parkir kereta dianggarkan RM8 sehari.

“Kami sudah macam pengemis, pinjam kereta sana sini, pinjam kereta jiran, saudara mara,” keluh bapa kepada tiga anak itu.

“Kereta kami tersadai lama-lama di pelabuhan, dengan tidak panaskan enjin (risiko rosak). Ini bukan tahap tidak adil, ini sudah kes aniaya.”

Tambahnya, beliau dan mangsa lain menggunakan penghantaran menerusi kapal kargo bukan untuk tujuan perniagaan maritim, tetapi untuk urusan biasa seperti pindah rumah, memenuhi keperluan tempat kerja, serta kegunaan harian.

Firdaus telah membuat laporan polis dan menggesa lebih ramai pemilik kenderaan tampil berbuat perkara yang sama.

“Kami tidak tahu nak salahkan siapa, sebab tiada sebarang kenyataan daripada syarikat kapal. Kami pun tidak pasti maklumat yang agen beri, sahih atau tidak, sebab ada banyak versi,” katanya.

Ejen menguruskan perkhidmatan itu, yang dihubungi FMT, meminta masalah terbabit dirujuk kepada syarikat perkapalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.