Chow nafi elak majlis ulang tahun Kit Siang

Chow nafi elak majlis ulang tahun Kit Siang

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata lawatan kerjanya ke Jepun diatur lebih awal oleh Invest Penang sebelum tarikh majlis makan malam itu ditetapkan.

chow kon yeow
Chow Kon Yeow (kiri) berkata beliau sangat menghormati Lim Kit Siang yang membawanya ke dunia politik dan membimbing beliau hingga ke tahap ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menafikan dakwaan bahawa beliau sengaja menjadualkan lawatan rasmi ke Jepun bagi mengelak menghadiri majlis ulang tahun ke-84 pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang di George Town, Sabtu lalu.

Chow menjelaskan bahawa lawatan rasmi itu diatur lebih awal oleh agensi pelaburan negeri, Invest Penang, sebelum majlis makan malam tersebut dijadualkan.

“Invest Penang menguruskan segala perancangan, termasuk memilih tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak selepas Tahun Baharu Cina dan sebelum Ramadan,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata spekulasi mengenai ketidakhadirannya adalah tidak berasas kerana beliau amat menghormati Kit Siang.

“Saya mempunyai rasa hormat yang sangat mendalam terhadap Kit Siang, yang membawa saya ke dalam dunia politik dan membimbing saya hingga ke tahap ini,” katanya.

Chow meninggalkan bidang kewartawanan pada 1986 untuk menjadi setiausaha politik Kit Siang di Pulau Pinang dan sejak itu beliau memegang pelbagai jawatan penting, termasuk sebagai Ahli Parlimen Tanjung dan Batu Kawan.

Beliau juga memegang jawatan exco negeri sebelum menggantikan anak Kit Siang, Lim Guan Eng sebagai ketua menteri pada 2018.

Chow juga berkata beliau telah memaklumkan kepada penganjur majlis tentang ketidakhadirannya itu lebih awal kerana komitmen rasmi.

Beliau, yang pulang bersama rombongannya dari Tokyo pada Sabtu, berkata ketidakhadirannya pada majlis itu dengan sebab kukuh telah dimanipulasi secara politik oleh pihak tertentu.

Dalam ruangan pendapat di The Star semalam mendakwa Chow merancang lawatan ke Jepun itu secara khusus untuk mengelak jamuan makan malam itu, yang dilihat sebagai satu acara untuk mengukuhkan sokongan kepada Guan Eng menjelang pemilihan DAP pada 16 Mac ini.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa Chow mengelak bertemu Guan Eng, kerana perbezaan politik dan profesional dalam gaya pentadbiran mereka.

Chow kini berkhidmat untuk penggal terakhirnya sebagai ketua menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.