
Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mendakwa banyak pusat membeli belah di Kuala Lumpur tidak mempunyai mesin mampu mengesan kemasukan senjata api.
“Kalau pergi pasaraya di luar negara kita terpaksa melalui scanner (mesin pengimbas) tetapi banyak pusat membeli belah di Kuala Lumpur tiada.

“Jadi saya nak cadangkan kepada kerajaan supaya scanner di pasang di setiap pusat membeli belah bagi elak kejadian ini berulang,” katanya membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Dalam kejadian 8 Feb lalu, suspek disyaki lelaki tempatan dan bersenjatakan pistol melepaskan beberapa das tembakan dalam sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Seorang pekerja pembersihan cedera selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek terkena kaki dan punggungnya.
Suspek kemudian melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan yang terkena pada pintu kaca dan cermin tangga sebelum melarikan diri.
Dia kemudian menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksanya membawa suspek menuju ke sebuah kawasan di Pandamaran, Klang, dan memberhentikan kereta dan melepaskan mangsa serta melarikan diri.
Polis telah mengenal pasti suspek berusia 30-an itu yang difahamkan berada dalam pengaruh dadah semasa kejadian tembak berlaku.