
Pakar hal ehwal maritim, Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata masalah tersebut boleh dielakkan sekiranya syarikat yang dianugerahkan kontrak berkemampuan dan mematuhi jadual penghantaran.
“Kontrak yang diberikan lima hingga 10 tahun lalu kini mendedahkan kelemahannya. Kronisme mungkin menjadi faktor kerana terlalu banyak wang dibazirkan tanpa akauntabiliti,” katanya kepada FMT.
Salawati turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang gagal menunaikan kontrak perolehan itu, dan berkata tindakan itu mungkin boleh mendedahkan rasuah dalam kerajaan itu sendiri.
“Jika kerajaan menyaman syarikat yang terlibat atas kelewatan ini, adakah mereka sanggup ‘dibogel’ di mahkamah (dengan mendedahkan bukti)? Jika mereka boleh, kita akan saksikan satu ‘pertunjukan’,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan membatalkan kontrak kapal peronda luar pesisir, sementara projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih tertangguh, dan perjanjian untuk pembelian helikopter Black Hawk untuk tentera darat dibatalkan.
Pakar keselamatan dan pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Mizan Aslam, berkata syarikat yang stabil dari segi kewangan perlu dipilih bagi menguruskan kontrak pertahanan.
Syarikat sedemikian, katanya, boleh memastikan pembayaran kepada pekerja dan pembekal dibuat tepat pada masanya, walaupun bayaran dari kerajaan lewat. Mizan juga menegaskan bahawa kronisme perlu dihapuskan bagi mengelakkan syarikat yang tidak berkelayakan mendapat kontrak.
Mizam mencadangkan TLDM mempertimbangkan untuk menyewa kapal, bagi memastikan tanggungjawab dialihkan pada pihak kontraktor sekali gus meningkatkan akauntabiliti.
“Sebagai contoh, jika Malaysia menyewa 10 kapal LCS dan satu mengalami kerosakan, kontraktor perlu membaikinya dalam tempoh 24 jam atau menyediakan kapal lain sebagai ganti,” katanya.
“Jika kita ada 10 kapal LCS dan dua rosak, ia akan mengambil masa untuk membuka tender bagi membaikinya. Kita juga tidak mempunyai pakar tempatan untuk melakukannya,” katanya.
Projek LCS menjadi perhatian pada 2022 selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tiada satu pun daripada enam kapal yang ditempah dalam kontrak RM9 bilion telah disiapkan, walaupun kerajaan telah membayar lebih RM6 bilion.
TLDM sepatutnya menerima lima kapal tersebut menjelang Ogos 2022, namun kapal pertama hanya dijangka siap dan diuji sepenuhnya pada Ogos 2026. Kos projek itu juga meningkat kepada lebih RM11 bilion dengan hanya lima kapal akan dibina.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan kontrak tiga kapal peronda luar pesisir untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selepas hanya satu kapal diserahkan pada Januari tahun lalu, tiga tahun lewat daripada jadual.
Saifuddin berkata kerajaan membelanjakan lebih RM600 juta dan menyalurkan tambahan RM152.6 juta hanya untuk menyiapkan sebuah kapal sahaja.
Begitu juga, perjanjian untuk memperoleh empat helikopter Black Hawk dibatalkan November lalu kerana kelewatan penghantaran.