
Rata-rata mereka menyatakan penghargaan kepada kerajaan persekutuan dan menyifatkan langkah itu mampu memperkukuh sektor industri minyak dan gas (O&G) negara.
Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkata, permuafakatan itu penting agar tatakelola, dasar dan pengembangan industri petroleum di Bumi Kenyalang itu bersandarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mengambil kira kedudukan Petros dalam Ordinan Pengagihan Gas 2015.
“Selaras dengan semangat federalisme, kita harus percaya bahawa kemajuan ekonomi Sarawak bukan hanya kepentingan Sarawak semata-mata tapi juga akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan Malaysia secara keseluruhan,” katanya ketika membahaskan usul itu.
Turut senada, Anyi Ngau (GPS-Baram) menzahirkan penghargaan terhadap kewibawaan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak kerana berjaya mencapai kesepakatan itu, selain berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan kemampanan ekonomi di negeri itu dan negara, yang seterusnya akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan rakyat.
Chong Chieng Jen (PH-Stampin) pula mencadangkan supaya kuota sekurang-kurang 30% pegangan dalam Petronas serta komposisi ahli lembaganya diberikan kepada wakil Sarawak untuk memastikan kesepaduan dua pihak yang lebih baik.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi penerangan berhubung aktiviti petroleum di Sarawak melibatkan Petronas dan Petros di Dewan Rakyat menyatakan bahawa kerajaan persekutuan menghargai aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi industri minyak di negeri tersebut.
Hasrat itu diterjemahkan melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac.
Dalam pada itu, Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) menekankan pentingnya Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu terutama tenaga solar bagi menjamin masa depan yang lestari bagi generasi akan datang.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam penggunaan tenaga itu dengan kedudukan strategiknya di garisan khatulistiwa, memberikan purata sinaran suria tinggi sebanyak 1,571 kilowatt jam (kWj) per meter persegi setahun.
Katanya, tenaga solar menyumbang 3.65 gigawatt daripada jumlah kapasiti tenaga boleh baharu pada Mei tahun lepas.
“Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya meneroka sumber alternatif seperti tenaga hidro, biojisim dan biogas yang masih kurang dibangunkan.
“Saya percaya dengan adanya sumber tenaga alternatif ini, negara dapat bergerak ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan,” katanya.
Sidang dewan bersambung esok.