Isu sekolah padat di Selangor, Johor agak serius, kata KP pendidikan

Isu sekolah padat di Selangor, Johor agak serius, kata KP pendidikan

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata langkah lain ialah membina bangunan kabin dan membuat penyuraian sekolah padat kepada sekolah berhampiran.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan (tengah) menyantuni murid prasekolah ketika melawat SK Taman Seri Pagi di Senawang sempena hari pertama sesi persekolahan 2025-2026 hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Membina sekolah baharu antara cara untuk menangani isu kepadatan murid agak serius di Selangor dan Johor, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

“Memang kita (Kementerian Pendidikan) sedar berlaku kepadatan murid di sekolah khususnya di Selangor dan Johor. Anak-anak kita yang mendaftar untuk Tahun Satu dan Tingkatan Satu agak tinggi dan kementerian sudah pun ada inisiatif bagi menangani isu berkaitan kepadatan murid tinggi.

“Hari ini ada dua sekolah baharu mula beroperasi di Selangor, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih dan SK Denai Alam.

“Ada 17 sekolah lagi yang akan mula beroperasi tahun depan,” katanya menurut Berita Harian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula di SK Taman Seri Pagi, Senawang.

Azman berkata, langkah lain dilaksanakan KPM bagi menangani isu sekolah padat ialah membina bangunan kabin di sekolah memerlukan dan membuat penyuraian kepada sekolah berhampiran.

“Sebagai contoh tahun lalu, Sekolah Kebangsaan Cyberjaya, kepadatan itu dapat kita atasi melalui pembinaan kabin, dengan pembinaannya hanya mengambil masa tiga bulan.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian memberi jaminan perkara ini sentiasa diberikan perhatian dan sedang diatasi.”

Sementara itu, beliau berkata, pembukaan sekolah di Kelantan, Terengganu dan Kedah semalam berjalan lancar, dengan keseluruhan murid sekolah rendah tahun ini seramai 2.9 juta dan menengah 2.1 juta di 10,237 sekolah seluruh negara.

“Murid baharu prasekolah seramai 205,051 orang, Tahun Satu (461,198), Kelas Peralihan (17,547) dan Tingkatan Satu seramai 460,494 orang.

“Pengisian minggu pertama persekolahan untuk membantu murid baharu menyesuaikan diri dengan suasana sekolah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.