
Hartini Zainudin, pengasas bersama badan kebajikan, Yayasan Chow Kit, berkata mempunyai rumah stabil akan membolehkan gelandangan menangani perkara penting lain seperti pengangguran, kesihatan mental dan ketagihan.

“Model Perumahan Pertama mengutamakan penyediaan rumah stabil tanpa prasyarat. Kerajaan Malaysia perlu bekerjasama dengan pemilik hartanah untuk mendapatkan unit rumah mampu milik dan mempercepatkan pembangunan projek perumahan kos rendah,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi contoh kerajaan Finland dengan bantuan NGO dan pihak berkuasa tempatan, menjadikan banyak asrama sementara dan tempat perlindungan kecemasan sebagai perumahan kekal di bawah inisiatif Perumahan Pertama sejak awal 2000-an.
Menurut “Housing First Europe”, jumlah gelandangan tinggal di asrama Finland berkurangan sebanyak 76% dari 2008 hingga 2017.
Inisiatif itu disertakan perkhidmatan sokongan pilihan, berbeza dengan model “rawatan dahulu” yang memerlukan individu menunjukkan mereka boleh hidup berdikari sebelum mendapat akses perumahan.
Laili Ismail, pemangku presiden kumpulan “soup kitchen” Pertiwi, berkata tempat perlindungan sementara perlu mempunyai persekitaran selesa untuk gelandangan merasai kestabilan – ciri digunakan Singapura dalam reka bentuk rumah perlindungannya.

“Persekitaran yang mengingatkan rumah memberi kestabilan dan dorongan kepada orang ramai untuk berusaha berdikari. Mereka boleh berfikir lebih baik dan mahu memiliki tempat sama yang boleh mereka jadikan rumah.”
Isnin lalu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima pakai amalan terbaik dari negara mempunyai kadar gelandangan rendah, seperti Jepun, Singapura dan Finland untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu di Kuala Lumpur.

Katanya, JKM boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk menjalankan kajian bagi mencari punca individu menjadi gelandangan.
Hartini berkata, Jepun menggubal undang-undang untuk membantu gelandangan mencapai kebebasan; undang-undang mengkehendaki kerajaan menjalankan tinjauan di seluruh negara terhadap populasi gelandangan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Perkhidmatan sokongan menyusul
Hartini berkata, inisiatif Perumahan Didahulukan perlu digandingkan sistem sokongan komprehensif merangkumi pusat perkhidmatan bersepadu menyediakan program pemulihan untuk penagih, kaunseling kesihatan mental dan perkhidmatan penempatan pekerjaan bagi mereka yang mencari kebebasan kewangan.
“Program latihan pekerjaan perlu diperluaskan untuk disesuaikan dengan keperluan gelandangan,” katanya yang menggesa kerajaan dan NGO bekerjasama dengan perniagaan tempatan untuk menyediakan peluang pekerjaan.
Laili berkata, penyelidikan akademik perlu untuk lebih memahami golongan gelandangan di Kuala Lumpur, termasuk mengenal pasti kumpulan berisiko dan menganalisis trend demografi.
“Didapati ramai dari negeri lain tidak kisah menjadi gelandangan di KL kerana mereka boleh bergantung kepada tempat perlindungan disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan makanan diberikan NGO.”
Beliau mendakwa ada pesara yang mengunjungi badan amal bukan kerana mereka kini hidup dalam kemiskinan, tetapi disebabkan mereka bimbang akan kehabisan wang simpanan.