
Data itu diperoleh hasil kajian firma perunding ekonomi tempatan, EconWorks, yang mengukur impak operasi Grab dan kesan lanjut perkhidmatan atas permintaannya terhadap pekerja gig serta perniagaan yang menjana pendapatan dan menjual produk mereka di platform itu.
Pengarah Urusan EconWorks, Wan Khatina Nawawi, berkata syarikat platform teknologi itu menyediakan akses kepada peluang pendapatan yang fleksibel dan menyokong pertumbuhan digital perniagaan kecil.
Katanya, sepanjang 12 tahun beroperasi di Malaysia, Grab memberi sumbangan yang ketara serta manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh negara.
“Bagi setiap RM1 dijana melalui transaksi Grab, RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi yang lebih luas. Ini menggariskan impak positif ekosistem Grab terhadap jutaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka,” katanya dalam kenyataan.
Kajian itu juga menunjukkan 88% daripada sumbangan nilai tambah tersebut datang daripada rakan pemandu dan rakan niaga Grab yang beroperasi merentasi pelbagai perkhidmatan Grab.
Pada 2023, rakan pemandu menyumbang RM4.6 bilion dalam nilai tambah, mewakili 0.25% daripada KDNK Malaysia.
Ekosistem Grab menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan, menyediakan aliran pendapatan untuk rakan pemandu, rakan niaga, dan pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh mereka. Ini bermakna satu daripada 64 individu dalam tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti berkaitan Grab.
Peluang pendapatan disediakan Grab menyumbang tambahan RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah. Peningkatan pendapatan oleh rakan pemandu dan rakan niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat Malaysia, menurut laporan itu.
Dalam pada itu, Wan Khatina berkata, laporan tersebut menyerlahkan kelebihan persekitaran perniagaan Malaysia yang menyokong, kini memberi tumpuan kepada ekonomi digital, membolehkan syarikat platform seperti Grab berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi.
“Dengan mengukur sumbangan ini, kajian ini memberikan pandangan menyeluruh tentang bagaimana Grab dan pihak berkepentingan berinteraksi dengan ekonomi Malaysia yang lebih luas dan memudahkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.