Fahmi jumpa wakil media Rabu bincang isu kebajikan

Fahmi jumpa wakil media Rabu bincang isu kebajikan

Menteri komunikasi berkata kerajaan sedar syarikat media berdepan masalah kewangan sehingga menjejaskan kemampuan bayar gaji pekerja.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merasmikan Majlis Graduasi Digital Leadership Excellence 2024. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan bersama wakil media Rabu ini untuk membincangkan kebajikan mereka termasuk berkait isu gaji.

Menteri komunikasi berkata, kerajaan sedar pelbagai syarikat media berdepan masalah kewangan sehingga menjejaskan kemampuan untuk membayar gaji pekerja.

“Kita akan bertemu pada Rabu untuk memulakan perbincangan mengenai beberapa aspek terutama isu kebajikan.

“Isu utama dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini adalah tekanan ekonomi dihadapi syarikat media, antaranya disebabkan peralihan perbelanjaan pengiklanan daripada media arus perdana kepada media sosial,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi Digital Leadership Excellence 2024.

Semalam, dilaporkan seramai 15 pekerja The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran mendakwa Petra News Sdn Bhd gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan potongan cukai pada 2024.

Pekerja berkenaan berkata, selain caruman berkanun tidak dibayar, mereka juga berdepan kelewatan pembayaran gaji sejak 2024.

Mengulas perkara itu, Fahmi memaklumkan pertemuan antara pekerja dan pengurusan Petra berlangsung pagi tadi namun pihaknya belum mendapat maklumat lanjut.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan sedang meneliti langkah tambahan atau pendekatan baharu untuk membantu syarikat media dalam menghadapi peralihan pengiklanan ke media sosial.

Sementara itu, Fahmi menasihatkan pengguna media sosial bersederhana dalam memberi komen mengenai isu sensitif, merujuk kontroversi dicetuskan penjual jagung yang meletakkan notis berunsur perkauman.

Katanya, isu itu masih menjadi perbincangan hangat di media sosial dan perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak.

“Kita perlu berpada-pada dalam mengemudi sentimen yang sering kali mudah tersebar atau ditularkan dalam media sosial. Sebagai sebuah negara majmuk dan mempunyai banyak sensitiviti, kita harus lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan serta komen,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.