
Hakim perbicaraan Syahliza Warnoh memutuskan, prosiding akan dijalankan tanpa kehadiran pihak media dan orang awam dalam kamar mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, pihak pendakwaan mahu mengemukakan keterangan daripada dua saksi kanak-kanak itu
Katanya, testimoni itu akan mematuhi Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007, dan kedua-dua saksi tidak akan hadir di mahkamah, sebaliknya testimoni akan diambil menerusi pautan video.
Raja Zaizul berkata, kanak-kanak itu akan ditemani oleh seorang dewasa dan beliau memberi jaminan bahawa mereka tidak akan dibimbing berhubung kandungan keterangan mereka.
“Media tidak boleh mendedahkan identiti (saksi kanak-kanak) dan boleh didenda sehingga RM10,000, penjara dua tahun, atau kedua-duanya jika langgar undang-undang (dedah identiti kanak-kanak),” katanya.
Haresh Mahadevan, peguam utama mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.
Terdahulu, seorang penduduk, Siti Natrah Ismail memberitahu mahkamah, pada kira-kira tengah hari 5 Dis 2023, beliau nampak dua budak lelaki berlari-lari.
Katanya, salah seorang daripadanya memakai uniform sekolah manakala seorang lagi berseluar pendek hitam dan berbaju putih, dengan seorang daripada mereka kedengaran menjerit.
“Ketika itu, saya sedang jemur pakaian di tingkat bawah blok Apartment Idaman. Budak yang memakai uniform sekolah itu kejar yang seorang lagi,” kata suri rumah berusia 68 tahun itu ketika diperiksa Raja Zaizul.
Siti berkata, beliau nampak dua budak lelaki itu berlari ke arah kebun kelapa, tetapi budak yang memakai uniform sekolah itu berpatah balik kerana sebuah van tiba untuk menghantarnya ke sekolah.
“Saya masuk semula ke rumah kerana cucu saya menangis,” katanya.
Diperiksa lebih lanjut oleh Raja Zaizul, Siti berkata, beliau tidak berapa ingat nama budak lelaki memakai uniform sekolah itu, tetapi langsung tidak ingat nama budak yang seorang lagi itu.
Seorang lagi saksi, seorang koperal dikenali sebagai Hunter El Arash Jeanawie Untam berkata, beliau mengetuai sekumpulan 10 orang cuba mencari Zayn Rayyan pada hari kedua kanak-kanak itu hilang.
“Ketika kami berjalan ke arah anak sungai, kami dengar seseorang jerit, berkata berulang kali, ‘dah jumpa’,” kata saksi pendakwaan ke-13 itu.
Katanya, beliau bergegas ke tempat kejadian dan nampak mayat Zayn Rayyan terbaring, lengkap berpakaian.
Minggu lepas, Faizul Najib Abd Munaim memberitahu mahkamah, beliau menemukan mayat Zayn Rayyan di tebing pasir di anak sungai itu kira-kira 9.30 malam pada 6 Dis 2023, dengan bantuan lampu suluh.
Hunter berkata, beliau segera memaklumkan kepada pihak atasannya mengenai penemuan oleh Faizul Najib, dan menanggalkan jaketnya untuk menutup mayat kanak-kanak itu.
“Saya juga halang mereka yang ada di situ ambil gambar (mayat) guna telefon bimbit,” katanya ketika diperiksa TPR Aqharie Durranie Aziz.
Menurutnya, pasukan forensik polis kemudian tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian turut tampil bagi pihak pendakwaan, manakala peguam Ramzani Idris dan H Lavanesh membantu Haresh.
Ismanira dan Zaim, kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak pada 13 Jun tahun lepas.
Kesalahan didakwa dilakukan di PJU Damansara Damai antara 5 dan 6 Dis 2023 bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Mereka boleh dihukum denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, kanak-kanak berusia 6 tahun yang menghidap autisme, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023, sebelum mayatnya ditemukan keesokan harinya di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.