Ancaman tarif keluli, aluminium AS minimum

Ancaman tarif keluli, aluminium AS minimum

Menteri Tengku Zafrul Aziz kata moratorium yang dikenakan ke atas industri itu pada 2023 akan mengurangkan kesan tarif 25% yang dikenakan AS.

Menteri Tengku Zafrul Aziz kata Malaysia bukan pengeksport utama keluli dan aluminium ke AS. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Industri keluli dan aluminium Malaysia tidak akan terjejas teruk oleh tarif perdagangan Amerika Syarikat ke atas sektor itu, menurut menteri pelaburan, perdagangan dan industri.

Tengku Zafrul Aziz berkata moratorium dua tahun yang dikenakan pada 2023 untuk menangani lebihan kapasiti dan pengembangan industri keluli dan aluminium Malaysia akan mengurangkan kesan perintah eksekutif Presiden Donald Trump, yang mengenakan tarif 25% ke atas import keluli dan aluminium mulai 12 Mac.

“Apa pun yang berlaku di AS, Malaysia bukanlah pengeksport utama (keluli dan aluminium). Eksport terbesar kita (ke AS) adalah daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang lebih ketara,” katanya pada sidang media di tepian Persidangan China: Asia Tenggara 2025.

Tengku Zafrul mengulas seruan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (Misif) minggu lepas yang menggesa undang-undang anti-lambakan diperkukuhkan menjelang tarif AS itu.

Misif berkata langkah itu penting kerana tarif yang diumumkan oleh Trump boleh menyebabkan lonjakan import produk keluli dari negara asing ke pasaran Malaysia.

Menurut Misif, firma di China menyalurkan produk keluli ke Kanada, Mexico, Brazil dan Vietnam pada masa lalu untuk mengatasi tarif AS, mendorong negara-negara ini untuk melaksanakan tarif tersendiri untuk menghentikan kemasukan barangan.

Tengku Zafrul memaklumkan beliau akan ke AS dan Eropah untuk misi perdagangan dan pelaburan tahunan Miti pada suku kedua tahun ini, dan sedang menunggu kelulusan Jemaah Menteri untuk perjalanan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.